Jangan label Felda lubuk dadah - Utusan Malaysia

Jangan label Felda lubuk dadah

SEBUAH pondok yang menjadi lokasi pengedar dan penagih dadah diserbu oleh polis di sebuah ladang sawit di Felda Sungai Koyan di Lipis, Pahang. - GAMBAR IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Belia Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak menafikan kewujudan pengedar dari luar yang menjadikan tanah rancangan itu sebagai tempat mereka melakukan urusan jual beli bahan terlarang terbabit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Jerantut, Mohd. Jamil Mat Daud, 34, berkata, mungkin kerana tanah rancangan itu tersusun dan tertutup jadi ia memudahkan mereka menjual barangan terlarang itu sekali gus memperdaya mangsa yang terdiri daripada anak muda Felda.

“Namun untuk mengatakan Felda lubuk dadah adalah kurang ‘manis’ sekali gus memberikan pandangan negatif masyarakat luar terhadap agensi itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, pengedar dadah dipercayai menjadikan tanah-tanah rancangan Felda sebagai lubuk untuk urusan jual beli bahan terlarang itu kepada penagih di situ.

Kawasan Felda yang terlampau luas dan terletak di pedalaman memudahkan pengedar membuka laluan-laluan tikus untuk menyeludup masuk bekalan dadah ke dalam tanah-tanah rancangan berkenaan, malah membekalkannya juga ke kampung-kampung berdekatan.

Mengulas lanjut, Mohd. Jamil menegaskan, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan yang dijkeluarkan itu kerana penagihan dadah berpunca dari orang luar sebaliknya Felda pula yang dijadikan mangsa.

Tambahnya, banyak kejayaan yang ditampilkan oleh anak Felda dan agensi terbabit sepatutnya lebih dikenali sebagai ‘lubuk emas’ bukan lubuk dadah kerana banyak menghasilkan insan yang berguna buat negara.

“Kalau diperhatikan berapa ramai anak Felda yang berjaya tidak hanya menjadi doktor ataupun peguam, malah juga memegang jawatan tertinggi negara seperti menteri dan timbalan menteri,” katanya.

Mohd. Jamil yang juga Pengerusi Skuad Anti Dadah Jerantut berkata, pihak Felda sendiri telah melakukan pelbagai usaha untuk membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia di tanah rancangan itu sejak sekian lama.

“Memang dari dahulu lagi pelbagai usaha dilakukan untuk membanteras penagihan dadah di tanah rancangan termasuk menganjurkan aktiviti-aktiviti sihat supaya masa terluang golongan belia dapat dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah.

“Malah kerajaan sendiri telah mengeluarkan banyak peruntukan bagi memastikan aktiviti penagihan dadah ini dapat dicegah tidak hanya diperingkat tanah rancangan, malah negara keseluruhannya,” katanya yang juga Tokoh Anugerah Belia Felda Terbilang 2014 Peringkat Kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya