Jalan rosak, kotor undang risiko keselamatan

Jalan rosak, kotor undang risiko keselamatan

MUHAMMAD Rodzi Abd. Razak menunjukkan keadaan jalan yang rosak dan kotor di Kampung Batu 2 Bawah, Gurun, Sungai Petani, Kedah. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: Lebih 900 penduduk di Kampung Sungai Bongkok dan Kampung Batu 2 Bawah di sini, mendakwa jalan utama di kampung tersebut kerap rosak serta kotor disebabkan lori keluar masuk di sebuah premis membancuh simen sejak 10 tahun lalu.

Sehubungan itu, mereka melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna di laluan tersebut terutama penunggang motosikal.

Penduduk Kampung Batu 2 Bawah, Muhammad Rodzi Abd. Razak,50, berkata, jalan itu menjadi laluan utama penduduk untuk berulang-alik ke pekan dan tempat kerja.

“Kami tidak menghalang kewujudan premis membancuh simen itu tetapi aktiviti keluar masuk lori membawa bahan untuk diproses seperti batu dan pasir mengakibatkan jalan rosak.

“Keadaan jalan tidak rata dan berlubang membahayakan pengguna jalan terutama kepada penunggang motosikal,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Penduduk Kampung Sungai Bongkok, Che Nan Akob, 74, pula berkata, paip bekalan air di laluan itu juga kerap pecah ekoran situasi berkenaan.

Katanya, penduduk pernah membuat aduan kepada pihak pengurusan premis itu beberapa kali sebelum ini, namun masalah tersebut masih berlaku.

“Pengurusan premis perlu lebih prihatin dengan membaiki kerosakan jalan terutama lubang yang terbentuk kerana mereka menggunakan laluan itu sejak sekian lama.

“Jika lambat dibaiki, kerosakan itu menjadi lebih serius sehingga menyebabkan saluran paip air ke rumah penduduk pecah,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Batu 2 Bawah, Farizal Hashim, 42, berkata, pemandu kenderaan berat diharapkan lebih berhati-hati kerana laluan itu bersaiz kecil.

“Penduduk kampung terpaksa mengelak daripada kenderaan berat termasuk turun ke bahu jalan ketika berselisih.

“Walaupun bukan semua pemandu bersikap sedemikian tetapi kebanyakan daripada mereka memandu laju dan tidak memikirkan keselamatan kami selama ini,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya