Jahidah positif Covid-19

Jahidah positif Covid-19

JAHIDAH Nordin ketika selamat melahirkan bayi lelaki, J Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Wanita mangsa keganasan rumah tangga yang sebelum ini koma dipukul suaminya, Jahidah Nordin, 43, disahkan positif Covid-19 ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.

Adiknya, Fauziah Nordin, 40, berkata, pihak hospital memaklumkan Jahidah dijangkiti Covid-19 petang semalam berikutan terdapat kes pesakit lain positif di wad sama sebelum ini.

“Menurut pihak hospital, kakak positif (Covid- 19) tahap dua dan telah dipindahkan ke Wad Covid-19 petang semalam. Sebelum ini, memang ada kes pesakit katil sebelah kakak juga positif Covid-19, tapi saya tidak pasti berapa ramai yang positif dalam wad itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Fauziah, dia bimbang memikirkan tahap kesihatan kakaknya tambahan pula Jahidah belum pernah divaksin atas nasihat doktor.

“Dengan keadaan kakak Jahidah macam itu, demam tinggi dengan ‘bedsore’ (kudis) baharu naik di belakang badan lagi. Dia bukan macam orang normal lain tidak boleh bercakap atau merengek kalau sakit.

“Tahun lepas memang doktor tidak berani beri suntikan vaksin Covid-19 pada kakak kerana keadaannya koma,” katanya lagi

Menurut Fauziah, memandangkan Jahidah belum divaksin pihak hospital akan membuat pemantauan selama 10 hari.

Pada 21 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan Jahidah dikejarkan ke HTJ dengan ambulans selepas tahap kesihatannya dilaporkan tidak stabil akibat demam, muntah dan nafasnya turun naik.

Jelas Fauziah, dia juga melahirkan kekecewaan apabila berlaku kes Covid-19 dalam wad hospital sedangkan pelawat perlu membuat pemeriksaan pengesahan ujian Covid-19.

“Saya hanya mampu berserah apabila menerima berita kakak positif Covid-19, lebih sedih penjaga tidak dibenarkan masuk sebelum ini,” katanya.

Fauziah berkata, permata hati Jahidah iaitu bayi lelakinya, J Eshan Nufail yang menginjak dua bulan berada dalam keadaan sihat, namun meragam sejak semalam seolah-olah mengerti ibunya sedang sakit.

“Bayi okay tapi semalam meragam, bila saya tidurkan dan selimutkan guna baju ibunya, dia senyap, mungkin dia rindukan ibunya,” katanya sayu.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, J Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.

Dalam kejadian pada 4 Mei 2021, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun. 

Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital. 

Sebelum ini pada 17 Jun 2021, suami mangsa, Rosmaini Abd. Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya