SEREMBAN: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan seorang wanita yang didakwa membunuh suaminya di sebuah rumah di Rasah Kemayan Seremban 2 di sini pada 23 Januari lalu menjalani penilaian psikiatri di Hospital Permai, Johor Bahru.
Majistret, Norzaliza Tesmin mengeluarkan perintah itu ke atas Lau Seck Yan, 55, yang merupakan bekas calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 2018, selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili tertuduh, Joshua Nga Koo Koy.
Dalam prosiding sebutan semula kes tersebut, Joshua meminta mahkamah menghantar anak guamnya menjalani penilaian mental selama sebulan atas faktor tertuduh mempunyai sejarah bertindak agresif dan ganas terhadap suaminya.
Menurut Joshua, dua afidavit bagi menyokong hujah itu yang ditandatangani oleh dua anak perempuan mereka telah dikemukakan kepada mahkamah pada 22 dan 23 Februari lalu.
“Anak perempuan sulung mereka telah membuat laporan polis pada 22 Disember tahun lalu mengenai keadaan ibunya yang perlu dihantar untuk rawatan. Dia (anak sulung) memutuskan untuk berbuat demikian selepas bapanya menghantar WhatsApp pada 19 Disember 2021 memberitahu yang dia tidak boleh tinggal bersama atau bertolak ansur dengan kelakuan isterinya,” katanya sambil menambah mereka beberapa kali memujuk tertuduh untuk pergi mendapatkan rawatan tetapi tidak berjaya.
Joshua memberitahu, tertuduh juga beberapa kali mencederakan suami sebelum kematiannya dan anak-anak sedar akan perkara tersebut.
“Mereka mendakwa ibunya (tertuduh) mempunyai perangai dan mungkin menderita daripada ‘Skizofrenia’. Dalam afidavit itu, anak-anaknya juga ada mengatakan bahawa tertuduh adalah normal apabila di khalayak ramai dan sebenarnya akan membantu orang lain tetapi tiba-tiba akan bertukar agresif apabila dia pulang ke rumah,” katanya.
Seck Yan didakwa atas pertuduhan membunuh suaminya, Poh Seng Hiap, 55, di sebuah rumah di Jalan RK 6/2, Rasah Kemayan Golf & Country Township di antara pukul 3.30 hingga 4.30 petang pada 23 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tambah Joshua, anaknya juga menemukan satu ‘nota bunuh diri’ di dalam bilik tertuduh beberapa hari lalu yang ditulis pada 2008 yang mana kandungannya meminta supaya ahli keluarga tidak bersedih jika tertuduh meninggal dunia.
“Dalam nota itu juga tertuduh meminta maaf terhadap suaminya sekiranya mencederakan mangsa dan menyakitkan hatinya,” katanya.
Joshua menjelaskan bahawa anak guamnya mengalami masalah bipolar dan memerlukan rawatan sebelum pihak pendakwaan menyatakan tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan itu.
Pihak pendakwaan diwakili oleh Asisten Superitendan, C.Rathna.
Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh menjalani penilaian psikiatrik selama sebulan dan kes akan disebut semula 23 Mac depan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan seorang warga emas lelaki maut selepas dipercayai ditikam isterinya dalam satu kejadian di Rasah Kemayan Seremban 2 di sini, 23 Januari lalu.
Pihak polis menerima panggilan kecemasan daripada anak perempuan mangsa berusia 18 tahun memaklumkan bapanya telah ditikam di bahagian dada dalam kejadian pada pukul 4.11 petang.
Mangsa berusia 55 tahun itu tidak bekerja dan sebelum ini bertugas sebagai bekas akauntan syarikat swasta.
Pasangan itu mempunyai empat anak dan ketika kejadian anak ketiga dan keempat adalah saksi kejadian. – UTUSAN