Ismahalil mengaku tidak bersalah edar dadah - Utusan Malaysia

Ismahalil mengaku tidak bersalah edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyampai radio popular, Ismahalil Hamzah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah, tahun lalu.

Ismahalil, 49, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

“Faham tuan (pertuduhan), saya tidak mengaku bersalah,” kata Ismahalil yang berada di dalam kandang tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.

Pengakuan tidak bersalah itu merupakan pertama kali direkodkan selepas kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Ismahalil didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah  Berbahaya 1952 dan boleh dihukum  di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac ini untuk tarikh pengurusan kes.

Turut hadir dalam prosiding itu, isteri Ismahalil, Nor Haslinda Abdul Manaf, 48.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Majistret di sini  membenarkan kes Ismahalil dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Kes dadah itu dipindah dan dibicarakan ke Mahkamah Tinggi berikutan hukuman bagi pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya