PETALING JAYA : Individu yang disahkan positif Covid-19 dalam kategori 1 dan 2A serta tidak berisiko tinggi tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka hanya perlu melakukan pemantauan kesihatan kendiri dengan melengkapkan Peralatan Penilaian Rumah (HAT) menerusi aplikasi MySejahtera.
Katanya, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan perkhidmatan rakaman suara automatik (panggilan robot) akan dihantar jika mereka belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri secara harian.
Sebaliknya kata beliau, individu positif bagi kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mengalami gejala yang semakin teruk perlu ke CAC atau hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC.
“Tempoh isolasi (pengasingan) bagi individu positif Covid-19 yang tidak bergejala dan telah lengkap vaksinasi adalah tujuh hari, manakala tempoh isolasi bagi individu positif Covid-19, bergejala dan tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi adalah selama 10 hari.
“Individu yang perlu menghadiri CAC terdekat untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi oleh CAC melalui SMS atau panggilan telefon,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Kategori 1 ialah pesakit yang positif tetapi tiada gejala, kategori 2A pula adalah pesakit dengan gejala sakit tekak atau selesema tanpa demam atau sesak nafas dan batuk tanpa demam atau sesak nafas.
Selain itu, kategori 2A membabitkan pesakit yang hilang deria rasa tetapi masih mempunyai selera makan, hilang deria bau, cirit-birit dua kali atau kurang dalam tempoh 24 jam, loya dan muntah, keletihan tetapi masih boleh melakukan aktiviti harian serta sakit otot tetapi masih boleh melakukan aktiviti harian.
Sementara itu, kategori 2B adalah individu yang mengalami demam berpanjangan dua hari dan lebih atau baru demam, sukar bernafas apabila melakukan aktiviti, sakit dada dan hilang selera makan.
Gejala lain adalah berasa letih terutamanya ketika melakukan aktiviti harian atau semasa baru bangun dari tidur, perlu berjalan dengan bantuan, gejala semakin teruk (batuk, loya, muntah atau cirit-birit), tahap kesedaran berkurangan dan juga semakin kurang kencing dalam masa 24 jam. – UTUSAN