KOTA BHARU: Sepasang suami isteri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini kerana didakwa cuai sehingga bayi sulung mereka meninggal dunia, Jumaat lalu.
Bayi lelaki, Muhammad Hilman Firdaus Muhammad Hilmi berusia dua bulan disahkan meninggal dunia pukul 4.30 petang, selepas didakwa diberikan susu rosak dan diberikan ubat tidur tanpa kebenaran keluarga, selain dipaksa berpuasa lima hari.
Ibunya, Rosilawati Ismail, 26, berkata, keputusan tersebut dibuat demi mendapatkan pembelaan di atas kematian Muhammad Hilman Firdaus dan keluarganya sudah melantik peguam untuk mengendalikan kes itu.
“Setelah perjumpaan dibuat dengan pihak HRPZ II untuk mendapatkan penjelasan, kami sangat tidak berpuas hati dengan cara mereka merawat anak saya.
“Setakat hari ini kami belum lagi mengetahui punca sebenar kematian bayi kami, malah pihak hospital memberitahu kami perlu menunggu keputusan ujian darah yang akan keluar dalam tempoh dua bulan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Bayi puasa lima hari
Terdahulu tular video di Facebook dakwaan pasangan itu bahawa anak mereka maut disebabkan kakitangan HRPZ II memaksa bayi tersebut berpuasa lima hari, selain turut diberi minum susu yang rosak dan diberikan ubat tidur tanpa kebenaran keluarga.
Menceritakan semula insiden itu, Rosilawati berkata, pada 5 Februari lalu, bayinya yang mengalami cirit-birit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (Picu) dan pada 8 Februari, keadaannya bertambah baik lalu dipindahkan ke wad biasa.
Ketika berada di wad biasa katanya, doktor meminta dia menukar susu anaknya kepada susu yang dibekalkan pihak hospital dengan alasan bayi itu mengalami alahan terhadap susu sedia ada.
“Namun saya mendapati tarikh luput pada tin susu itu hampir tiba iaitu 12 Februari 2022. Malah, ketika saya membancuh susu, rasa dan rupanya meragukan seolah-olah sudah basi lalu bertanyakan kepada doktor yang merawat anak saya.
“Doktor memaklumkan susu itu masih boleh digunakan sekiranya belum berkulat. Beberapa hari kemudian keadaan anak saya memburuk sebelum diberi ubat tidur tanpa kebenaran saya atau suami,” katanya.
Kata Rosilawati lagi, anaknya juga perlu berpuasa selama lima hari bermula 15 Februari dengan alasan perutnya perlu direhatkan sehingga menyebabkan bayi itu meragam serta menangis tanpa henti akibat kelaparan.
Susulan kematian anak mereka, pasangan tersebut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Sabtu lalu sebelum memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap HRPZ II.
Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Selasawati Ghazali ketika dihubungi berkata, pihaknya memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus berhubung punca sebenar kematian bayi tersebut
“Kita akan melihat semua aspek laporan perubatan agar siasatan yang kita lakukan nanti dibuat secara telus,” katanya.- UTUSAN