PETALING JAYA: Hospital Sungai Buloh dijangka bertukar kepada status hibrid dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pertukaran status berkenaan bagaimanapun bergantung kepada faktor kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital terlebih dahulu dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Katanya, keputusan tersebut dibuat bagi membantu hospital merawat kes-kes selain jangkitan Covid-19 yang tertangguh sebelum ini.
“Buat masa ini Hospital Sungai Buloh telah dibuka untuk rawatan bukan Covid-19 terutama di Unit Kecemasan atas budi bicara Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr. Kuldip Prem Singh.
“Tetapi ia bukan dibuka sepenuhnya. Kita akan lihat bagaimana perkembangan kes Covid-19 dan jumlah kemasukan ke hospital terlebih dahulu dalam beberapa minggu akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Khairy menyempurnakan Majlis Perasmian dan Lawatan Kompleks MRI serta Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan (PKKN) Hospital Sungai Buloh.
Projek MRI tersebut menelan belanja sebanyak RM7.5 juta melibatkan naik taraf peralatan dan sistem terkini bagi menggantikan peralatan lama yang telah berusia 17 tahun.
Dalam pada itu, Khairy berkata, projek naik taraf di lapan wad Pusat Kusta Negara (PKN) juga dapat membantu menampung pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan oksigen pada masa ini. – UTUSAN