KUCHING: Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu melahirkan ramai individu yang menceburkan diri dalam perkara baharu, tidak kira sebagai lubuk rezeki ataupun sekadar minat mengisi masa lapang.
Bagi Valerie Bulan Kuleh, 25, pengasas SERENITY by ellie, dia memanfaatkan masa lapangnya di rumah dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghasilkan lilin wangian menggunakan cawan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan organik dan perkakas semula jadi.
Menyedari pentingnya memelihara dan memulihara alam sekitar katanya, penggunaan barangan semula jadi serta tumbuhan adalah satu cara terbaik bagi memulakan sesuatu yang baharu.
Ketika ditemu bual Mingguan Malaysia di sini, Valerie akui pada mulanya dia berdepan cabaran dalam mendapatkan bekalan untuk menghasilkan lilin wangian akibat PKP dilaksanakan.
“Melihat ibu saya yang minat dalam menghasilkan kraftangan masyarakat orang Ulu sejak saya kecil menjadikan sebagai inspirasi saya untuk melakukan sesuatu yang boleh saya lakukan sambil mengisi masa lapang.
“Meskipun berdepan cabaran kekurangan bekalan untuk menghasilkan lilin wangian, saya mengubah caranya dengan menggunakan bahan semula jadi yang hanya ada pada di rumah seperti minyak sayuran dan cawan yang tidak digunapakai,” katanya.
Jelasnya, apabila melihat keberhasilan membuat lilin wangiannya itu dia secara langsung terus memuat naik produknya dalam talian.
“Tanpa diduga, lilin wangian yang dihasilkan saya itu mendapat sambutan daripada orang ramai. Hanya dalam masa sebulan saya mendapat tempahan daripada orang ramai, sehingga mencecah RM800.
Katanya, lilin wangian dihasilkannya itu mempunyai 11 wangian berbeza yang boleh dipilih oleh pelanggannya sebelum menempah.
“Ciri-ciri bentuk lilin yang dimahukan oleh setiap mereka yang ingin membeli lilin wangian ini juga boleh dipilih, begitu juga dengan wangiannya. Ini kerana setiap wangian dan ciri bentuk yang dihasilkan dapat menarik minat serta ketenangan kepada setiap pembeli,” tambahnya.
Kini, selepas hampir dua tahun menceburi dalam bidang penghasilan lilin wangian sejak pandemik Covid-19, dia sudah meraih keuntungan anggaran RM2,000 sebulan dengan menerima tempahan dari sekitar Kuching dan luar bahagian termasuk Sibu, Bintulu dan Miri.
Malah, dia juga menerima tempahan daripada pelanggan dari luar negeri seperti Kuala Lumpur, Johor, Penang dan Sabah.
Bagi yang meminati produk lilin wangian yang dihasilkannya, mereka boleh menempah melalui dalam talian di laman sosial Instagram dan Facebook (Serenitybyellie) bermula dari harga RM45 hingga RM69 mengikut saiz dan ciri reka bentuk.
Valerie Bulan Kuleh merupakan anak kelahiran orang Kenyah dari Baram, dan kini merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kota Samarahan. – UTUSAN