Gig ekonomi bukan lagi penyelamat

Gig ekonomi bukan lagi penyelamat

Pekerjaan p-hailing perlu ada badan kawal selia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pekerja penghantar barangan dan makanan membabitkan syarikat p-hailing kini mengeluh selepas mendakwa pendapatan serta insentif mereka dipotong hampir 40 peratus tanpa alasan selain berlaku lambakan rider yang menyertai perkhidmatan tersebut.

Rata-rata daripada mereka yang tertumpu di sekitar ibu negara kecewa kerana pekerjaan dalam bidang gig ekonomi kini bukan lagi `penyelamat’ rakyat yang kehilangan pekerjaan atau penganggur ketika pandemik Covid-19.

Seorang penghantar barangan Shopee Express yang hanya mahu dikenali sebagai Samad berkata, apa yang mengecewakan pemotongan pembayaran insentif disifatkan tinggi dan tidak munasabah.

“Untuk bungkusan kurang daripada tiga kilogram (kg) pemotongan dikenakan sebanyak 0.50 sen berbanding RM1 sebelum ini.Bagi bungkusan lebih 5kg, pemotongan dikenakan sebanyak RM1.00 berbanding RM2 sebelum ini. Pemotongan melibatkan 50 peratus.

“Untuk makluman kami memang dibayar gaji asas sebanyak RM1,600 untuk 1,040 barangan dan dibayar elaun minyak RM300.

“Akan tetapi perlu diingat kami juga perlu membayar penyelenggaraan kereta. Jika kenderaan sering digunakan, sudah pasti kerap ke bengkel.Jadi kami mengharapkan insentif sebagai tambahan pendapatan,Jadi dengan pendapatan sebanyak itu dan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat, apa yang kami boleh lakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Samad berkata, apa yang membebankan apabila syarikat berkenaan turut melaksanakan undang-undang baharu kepada semua penghantar barangan.

“Kami akan didenda dengan pemotongan sebanyak RM100 jika penerima barangan tidak menerima bungkusan, walhal kebanyakan kes bukan disebabkan kesalahan kami.

“Ini prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditetapkan oleh syarikat. Kami perlu berhubung dengan penerima sebelum penghantaran dibuat.Masalahnya apa akan jadi kalau barang diberi kepada wakil seperti anak kemudiannya hilang bukan disebabkan kesalahan kita? Tidakkah ini sudah menekan kami yang tidak tahu apa-apa dalam hal berkenaan,?” jelasnya.

Bagi penghantar makanan, Zhafri Azizi berkata, sebelum ini, dia mampu memperoleh upah dengan kadar RM350 sehari selepas berjaya melengkapkan 20 pesanan.

“Selepas itu ia turun kepada RM300 dan sekarang kalau dapat tempahan dalam jumlah sama akan dapat dalam RM200 sahaja.

“Yang peritnya, sekarang nak dapat 20 tempahan pun bukan senang. Masuk pukul 8 pagi sampai pukul 11 malam pun belum tentu dapat jumlah tersebut. Sekarang kalau masuk petang pukul 5 sehingga 12 tengah malam dapat lima tempahan pun sudah dikira bagus,” jelasnya.

Berdasarkan rekod, bayaran asas yang diterima penghantar sebelum ini adalah sebanyak RM5.50 tahun lalu dan menerima bonus tambahan sebanyak RM25 selepas berjaya melengkapkan lima pesanan.

Bagaimanapun, kadar tersebut turun kepada RM5.00 berkuat kuasa awal tahun lalu dan hanya RM18 insentif sekiranya berjaya lengkapkan lima pesanan.

Dalam pada itu, Biro Aduan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) M.Shah berkata, apa yang dikesalkan, penurunan harga bonus harian yang sebelum ini RM25 untuk lima tempahan kepada hanya RM6 bagi jumlah yang sama memberi kesan kepada pendapatan harian rider.

“Pendapatan saya berkurangan sebanyak 40 peratus. Kalau hari minggu atau cuti am lagi teruk kerana berlaku lambakan penghantar separuh masa. Ada syarikat yang mengambil ‘rider’ tanpa mengira nisbah tempahan dan jumlah penghantar.

“Semakin lama kerja semakin turun kadar upah. Senang cerita dah banyak penghantar yang mereka pegang dan ubah sesuka hati undang-undang kerja. Mereka juga lebih nak menjual beg mereka iaitu RM150 setiap satu,” ujarnya.

Bagi Timbalan Pengerusi Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, masalah dihadapi penghantar bukan hanya melibatkan satu syarikat, tetapi beberapa syarikat penghantar makanan lain yang telah lama bertapak di negara ini.

“Antara syarikat terbabit ialah Food Panda dan perkara ini telah berlaku sebelum ini lagi. Kami tidak mahu dipermainkan dan perlu ada jalan penyelesaian antara penghantar dan juga syarikat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN