PADANG TERAP: Kebanyakan kebun getah di kawasan luar bandar di daerah ini terbiar apabila generasi muda tidak berminat untuk bekerja sebagai penoreh getah.
Difahamkan golongan muda tersebut tidak berminat meneruskan legasi penoreh getah yang menjadi pekerjaan ibu bapa mereka sebelum ini.
Seorang penoreh getah, Mohd. Azri Mat Rani, 36, dari Kampung Jelutong, Kuala Nerang di sini berkata, generasi muda sekarang tidak lagi berminat menjadi penoreh getah terutamanya selepas tamat persekolahan.
Katanya, kebanyakan rakannya lebih berminat berhijrah atau bekerja di premis-premis perniagaan seperti di pasar raya yang semakin banyak dibuka di kawasan luar bandar.
“Pada hari ini anak-anak muda memilih kerja yang bersih dan tidak perlu menanggung risiko setiap kali masuk ke kebun getah yang kadang-kadang berhadapan dengan binatang liar seperti ular dan babi hutan.
“Sebab itu ramai kawan saya memilih bekerja di luar kerana pendapatannya lebih tetap dan terjamin sehingga banyak kawasan kebun getah di daerah ini terbiar,” katanya ketika ditemui di sini.
Seorang pembeli getah, Syed Ibrahim Syed Omar, 59, pula berkata, hasil getah sekerap yang dijual di kawasan ini semakin berkurangan kerana tidak ramai penduduk berminat meneruskan kerja-kerja menoreh getah.
“Pada sekitar 2000, setiap bulan saya membeli sebanyak 400 hingga 500 tan metrik getah sekerap sebulan dari ladang sekitar Kuala Nerang. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini pula hanya mampu memperoleh sebanyak 200 hingga 250 tan metrik sebulan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Koperasi Pekebun Kecil Padang Terap, Ibrahim Ahmad ketika dihubungi berkata, jumlah penoreh getah di daerah ini pada sekitar 1990-an ialah seramai 5,000 orang.
Bagaimanapun, pada masa ini pula hanya terdapat 1,930 penoreh yang berdaftar dengan koperasi tersebut dan jumlah itu membimbangkan kepada pengeluaran getah negara pada masa akan datang.
Malah katanya, hampir 100 peratus ahli koperasi itu juga berusia 60 tahun ke atas.
“Ini menunjukkan generasi muda sudah tidak berminat untuk melibatkan diri sebagai penoreh getah,” tambahnya.
Sehubungan itu, menurutnya, kerajaan perlu berusaha untuk memulihkan kembali ladang getah terbiar seperti memberi kuota kemasukan pekerja asing bagi meneruskan kerja menoreh getah.
Katanya, Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga perlu menggalakkan semula klon getah seperti GT dan 600 yang mampu memberi pengeluaran susu getah berbanding sekarang menggunakan klon 135 dan 2000,” katanya. UTUSAN