KUALA SELANGOR: Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, di sini dilaporkan turut merasai gegaran akibat daripada kejadian gempa bumi yang berpusat di Sumatera Barat, Indonesia pada pagi tadi.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, gegaran yang dirasai pada pada pukul 9.40 pagi tadi menyebabkan operasi mengosongkan bangunan dilakukan.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikerahkan ke lokasi. Sebaik sahaja tiba, semua penghuni hospital sudah pun keluar dari bangunan kecuali di wad kritikal dan bilik bedah.
“Pemerhatian awal menunjukkan keadaan bangunan masih dalam keadaan baik, walau bagaimanapun masih menunggu laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk pengesahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kejadian gegaran di Hospital UiTM itu walau bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, JBPM dalam satu makluman memaklumkan pihaknya menerima 14 panggilan mengenai kejadian gegaran yang dilaporkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di sekitar Lembah Klang pada pagi ini.
Balai-balai yang menerima panggilan adalah di Banting, Puchong, Penchala, Kajang, Subang Jaya, Petaling Jaya, Shah Alam, Cyberjaya, Rawang, Kota Anggerik, Sungai Pinang, Damansara, Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – UTUSAN