PETALING JAYA: Gegaran gempa bumi yang berlaku di Utara Sumatra Indonesia pada pukul 9.39 pagi ini turut dirasakan di bahagian barat Semenanjung Malaysia terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Keadaan itu turut menyebabkan orang ramai yang berada dalam bangungan di beberapa kawasan termasuk di Putrajaya bergegas keluar ke kawasan lapang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian gempa bumi di Indonesia itu tidak menimbulkan ancaman tsunami kepada Malaysia.
“Kejadian berlaku pada jarak 76 kilometer (km) Barat Laut dari Payakumbuh, Indonesia dan kedalamannya sebanyak 10 km.
“Namun, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia. Gegaran dirasai di bahagian Barat Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya. – UTUSAN