PETALING JAYA: Kira-kira 20 bangunan di sekitar Kuala Lumpur mengalami gegaran akibat gempa bumi berukuran 6.1 skala ritcher yang berlaku di Sumatera, Indonesia hari ini.
Antara bangunan terlibat adalah Wisma BSN, Axiata Tower, Hotel Perdana KL City Centre, Menara Glomac, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Menara Maybank.
Selain itu, beberapa kediaman di sekitar Jalan Cheras, Taman Tasik Permaisuri, Jalan Pudu serta Jalan Lorong Raja Muda turut mengalami gegaran.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.45 berhubung kejadian itu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan PGO mengarahkan balai-balai bomba di sekitar ibu negara keluar ke lokasi bagi membuat pemantauan dan memastikan penghuni bangunan berada dalam keadaan selamat.
“Setakat ini Pusat Gerakan Operasi tidak menerima sebarang panggilan kecemasan yang melibatkan kerosakan struktur dan kecederaan penghuni bangunan,” katanya.
Terdahulu, rata-rata pengguna media sosial memuat naik video dan hantaran berkaitan gegaran yang dialami sekitar pukul 9.45 pagi hingga 10.30 pagi.
Selain Kuala Lumpur, beberapa daerah di Selangor seperti Klang, Shah Alam, Banting dan Sepang turut merasai gegaran akibat gempa bumi di Indonesia.- UTUSAN