PETALING JAYA: Penerbitan buku ‘Gay is Okay’ adalah satu usaha untuk menghakis pemikiran sedia ada rakyat negara sebelum ini bahawa gay adalah sesuatu yang salah dan tidak bermoral.
Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, penulis juga dilihat mempunyai matlamat untuk melakukan provokatif dan mempunyai cita-cita, walaupun pada hakikatnya boleh menggunakan tajuk lebih baik seperti ‘Gay: A Christian Perspective’

Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin harus membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan pengharaman buku “Gay is Okay! A Christian Perspective’.
“Keputusan Mahkamah Tinggi itu boleh membawa kepada suatu gambaran yang berbeza dengan hasrat Parlimen di dalam penggubalan undang-undang berkenaan isu liwat.
“Jika dilihat daripada sudut peruntukkan undang-undang sedia ada berkenaan aktiviti liwat adalah suatu perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh dipertuduhkan dan dihukum oleh Mahkamah, tidak kira samada liwat itu dilakukan secara sukarela atau dengan paksaan.
“Hasrat Parlimen ini jelas dinyatakan didalam Seksyen 377A, 377B dan 377C Kanun Keseksaan. Dengan kata lain adalah ‘tidak okay’ mengadakan hubungan sejenis di negara ini. Walaupun negara ini menolak sebarang diskriminasi terhadap seksual sejenis, namun kita juga bukan dalam posisi menggalakkan perbuatan tidak bermoral ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 18 Disember 2020, Kementerian Dalam Negeri telah mewartakan perintah larangan terhadap dua penerbitan, antaranya adalah buku “Gay is OK! A Christian Perspective” di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, berkuatkuasa 27 November 2020.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin dalam keputusan semakan kehakiman yang difailkan oleh penulis buku tersebut, Ngeo Boon Lin dan penerbit buku berkenaan, Chong Ton Sin selaku pemohon telah menolak perintah larangan tersebut.
Menurut Hakim Noorin, perintah larangan tersebut tidak masuk akal kerana buku telah berada dalam pasaran lebih dari tujuh tahun dan penulisnya tidak diberikan peluang untuk untuk didengar (right to be heard) dan menjawab segala dakwaan berkaitan buku tersebut.
Nazir Hussin berkata, negara ini dibina atas asas agama Islam sebagai agama Persekutuan dan ia tidak seharusnya dicabar dengan penerbitan-penerbitan yang bersifat cuba menghakis keadaan tersebut. – UTUSAN