Gajah disyaki mati makan racun, baja kimia - Utusan Malaysia

Gajah disyaki mati makan racun, baja kimia

SEEKOR gajah yang ditemukan mati di Bukit Makgak berhampiran Empangan Pedu ditanam di Padang Terap semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Seekor gajah betina berusia 20 tahun yang ditemukan mati dalam keadaan terduduk di Bukit Makgak berhampiran Empangan Pedu di sini semalam berkemungkinan termakan racun atau baja kimia tanaman.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, bagaimanapun siasatan lanjut berhubung punca kematian haiwan itu masih dijalankan.

“Kakitangan bahagian forensik Perhilitan mengambil sampel dari gajah tersebut untuk dibawa ke makmal di Kuala Lumpur untuk analisis dan kajian selanjutnya.

“Sehubungan itu, kita perlu menunggu sehingga laporan dari makmal itu siap untuk mendapatkan punca sebenar kematian haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, pada tahun lalu, seekor anak gajah ditemukan mati akibat termakan racun di sini.

“Saya ingin menasihatkan kepada peladang yang mengusahakan tanaman di kawasan itu supaya menyimpan baja atau racun tumbuhan di tempat yang selamat iaitu di dalam stor.

“Pedu merupakan kawasan habitat gajah dan sudah pasti haiwan itu akan berkeliaran di hutan tersebut,” jelasnya.

Katanya, difahamkan terdapat peladang menyimpan racun atau baja di bawah pokok.

“Oleh itu tidak hairanlah sudah terdapat beberapa kes gajah yang mati di kawasan itu berpunca daripada keracunan makanan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bangkai gajah itu telah ditanam di satu lokasi di daerah Padang Terap menggunakan jentolak pada pukul 8.30 malam semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan seekor gajah betina berusia 20 tahun seberat dua tan ditemui mati di tepi jalan di Jalan Empangan Pedu, Bukit Makgak di Pedu dekat sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya