PADANG TERAP: Seekor gajah betina berusia 20 tahun seberat dua tan ditemukan mati di tepi Jalan Empangan Pedu di Bukit Makgak, Pedu di sini hari ini.
Ketua Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sik/Padang Terap, Zulkifli Othman berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai penemuan bangkai gajah itu pada pukul 9.10 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota dihantar ke lokasi tersebut untuk siasatan dan mengesahkan gajah seberat dua tan itu telah mati.
“Saya difahamkan gajah itu mati pada awal pagi hari ini sebelum ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan duduk ketika mereka keluar menoreh getah di kawasan tersebut.
“Gajah betina itu dipercayai datang ke kawasan tersebut yang merupakan habitat gajah secara berkumpulan dari hutan berhampiran di Pedu untuk mencari makan,” katanya di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, siasatan pihaknya mendapati bangkai gajah tersebut tidak mempunyai se kesan kecederaan dan pihaknya menunggu laporan bahagian forensik Perhilitan untuk melakukan siasatan bagi mengetahui punca kematian mamalia itu.
Katanya, kes penemuan gajah mati itu yang pertama dilaporkan di negeri ini pada tahun ini manakala tahun lalu terdapat seekor gajah yang ditemukan mati akibat keracunan.
“Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, pihaknya mengesahkan penemuan bangkai gajah itu.
“Siasatan awal mendapati tidak ada sebarang unsur jenayah atau kecederaan terhadap mamalia itu,” katanya.- UTUSAN