KUANTAN: Festival Kraf Tekstil Pantai Timur ( FKTPT ) 2022 Kraftangan Malaysia yang diadakan 10 hari bermula Khamis lalu sehingga 26 Februari ini menyasarkan jualan sehigga RM1.5 juta.
Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu merupakan penganjuran kali ketiga namun yang pertama di negeri ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar berkata, jangkaan tersebut dapat dicapai dengan menempatkan sehingga 60 lot jualan usahawan kraf dalam mempromosi produk mereka.
Menurutnya, segala program dirancang untuk memastikan usahawan dan komuniti kraf dapat bangkit semula setelah hampir dua tahun terkesan akibat pandemik Covid-19 sehingga merencatkan segala aktiviti ekonomi.
“Bagi tahun 2019, FKTPT telah mencatatkan jualan yang menggalakkan iaitu lebih RM660,000 dan menunjukkan peningkatan lebih RM870,000 bagi tahun 2020.
“Dengan itu, dalam usaha meningkatkan lagi promosi pada penganjuran kali ini, FKTPT 2022 telah dimeriahkan lagi dengan beberapa aktiviti. Ini seperti demonstrasi pembuatan produk kraf batik, songket dan Tenun Pahang Diraja, serta aktiviti interaktif kraf dan pameran produk baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan FKTPT 2022 yang diadakan di East Coast Mall di sini kelmarin.
Yang hadir sama, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim dan Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dr. Tan Awang Besar.
Komuniti kraf
Pada majlis perasmian tersebut, sebanyak 24 koleksi tekstil diperagakan hasil daripada usahawan kraf dan pelajar Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Mariam.
FKTPT 2022 gabungan tiga negeri Zon Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu. Gabungan terdiri daripada usahawan kraf tekstil khususnya Songket, Batik dan Tenun Pahang serta komuniti kraf berjaya menonjolkan keunikan serta keindahan produk kraf melalui pelbagai rekaan, motif serta inovasi dalam penghasilan produk kraf tekstil.
Mengulas lanjut, Santhara berkata, produk-produk kraf tekstil ini merupakan aset negara yang tidak ternilai harganya.
Katanya, kraf tekstil antara bidang kraf yang menjadi penyumbang utama kepada nilai jualan produk kraf di negara ini.
“Ia terbukti apabila songket disenaraikan di bawah Represenative list of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris, Perancis pada penghujung tahun lalu.
“Penyenaraian itu adalah pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia untuk Warisan Kebudayaan Tidak Ketara sekali gus dapat mempromosi dan mengetengahkan kraf tekstil songket Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai pelbagai khazanah warisan kebudayaan.
“Jadi, dalam masa yang sama ia akan menjadi daya tarikan kepada pelancong dan dapat memberi pulangan ekonomi kepada negara,” katanya.