PETALING JAYA: Perjalanan empat sekeluarga menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mengundang padah apabila kesemua mereka ditemukan maut selepas kenderaan itu bertembung sebuah pikap yang hilang kawalan selepas masuk ke laluan bertentangan di Lebuhraya Sultan Iskandar, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, kesemua mangsa termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan empat tahun yang menaiki Hyundai Starex disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat dirempuh sebuah Toyota Hilux dipandu seorang lelaki.
Identiti mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Milan Damani, 32, S C Tinisha, 31, dan dua kanak-kanak lelaki, Rivaan Ivaan Damani, 4, dan Ishaan Ivaan Damani, 3.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Hamdan Samad berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hartamas dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian pada pukul 10.52 pagi.
Kata beliau, kemalangan itu menyebabkan empat mangsa terdiri seorang lelaki dan wanita serta dua kanak-kanak tersepit dalam kenderaan yang remuk.
“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Seorang lelaki berusia 27 tahun yang memandu Toyota Hilux mengalami kecederaan dan sudah dikejarkan ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, difahamkan Toyota Hilux yang dalam perjalanan arah ke Seremban hilang kawalan memasuki arah bertentangan dan bertembung dengan Hyundai Starex yang dalam perjalanan arah ke bangunan Parlimen. – UTUSAN