KUCHING: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan penubuhan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah (LKSN) bertujuan memastikan kemampanan industri sagu dan nipah di Sarawak.
Rang Undang-Undang Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom hari ini mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Rundi ketika membentangkan usul berkenaan , berkata bidang kuasa LKSN meliputi semua aktiviti huluan dan hiliran industri sagu dan nipah termasuk penanaman sagu dan nipah, pemprosesan dan penggunaan sagu dan nipah, pengeluaran pati sagu dan nipah, pembuatan produk sagu dan nipah termasuk sebarang perkhidmatan yang berkaitan dengannya.
Katanya, LKSN akan berada di bawah bidang kuasa kementeriannya dan semua aktiviti berkenaan akan dikawal selia dengan pelaksanaan skim pendaftaran dan pelesenan serta aktiviti penguatkuasaan.
Selain itu, katanya akan berperanan dalam melaksanakan dan mempromosikan komoditi berkenaan dan aktiviti berkaitannya untuk pekebun kecil di Sarawak.
Beliau menambah, LKSN mempunyai objektif utama untuk mempromosi, memudahkan dan membangunkan industri sagu dan nipah sebagai sempadan baharu untuk memaksimumkan pulangan ekonomi dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
“Ia juga akan menggubal objektif strategik, dasar dan keutamaan bagi pembangunan teratur dan pentadbiran sagu dan nipah di Sarawak,” katanya.
Ini, tambahnya akan membawa kepada peningkatan dalam produktiviti, penggunaan teknologi baharu dan menggalakkan pembangunan teratur sektor huluan dan hiliran sagu dan nipah. UTUSAN