Dua lelaki direman, bantu siasatan kemuka tuntutan palsu - Utusan Malaysia

Dua lelaki direman, bantu siasatan kemuka tuntutan palsu

Dua lelaki tiba di Kompleks Mahkamah Seremban untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM17,280, tiga tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua lelaki masing-masing terlibat dalam pengurusan pasukan Tenpin Boling Negeri Sembilan, Majlis Sukan Negeri, Negeri Sembilan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM17,280, tiga tahun lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Firdaus Salleh di Mahkamah Majistret Seremban mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Majistret Jenayah 1 di sini hari ini.

Mohd. Firdaus membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 56 dan 43 tahun bermula hari ini hingga 29 Februari depan.

Permohonan oleh SPRM itu dibuat Penolong Penguasa SPRM, Muhammad Shahrul Nizam Mohd Mokhtar.

Difahamkan pada September hingga Disember 2019, kedua-dua suspek bersama seorang lagi telah bersubahat mengemukakan tuntutan palsu melibatkan latihan sukan boling atas nama Pasukan Tenpin Boling Negeri Sembilan bagi persediaan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 kepada Majlis Sukan Negeri, Negeri Sembilan.

Nilai keseluruhan tuntutan yang dibuat pada 2019 itu ialah sebanyak RM17,280 bagaimanapun latihan itu tidak dijalankan.

Mereka sebelum itu ditahan ketika hadir di Pejabat SPRM Negeri Sembilan semalam.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN