Dua dekad mencapai kegemilangan, UMP sanjung jasa staf

Dua dekad mencapai kegemilangan, UMP sanjung jasa staf

YUSERRIE Zainuddin (berdiri atas, tengah baju Melayu merah jambu) bersama warga UMP yang telah setia berbakti selama 20 tahun di Dewan Astaka UMP Kampus Gambang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 63 staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menyumbang jasa lebih dua dekad di universiti itu diraikan dalam Majlis Sanjungan Budi bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP tahun ini.

Datuk Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor hadir menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima dalam program anjuran Jabatan Pendaftar di Dewan Astaka UMP Gambang, di sini baru-baru ini.

Menurut Yuserrie, 20 tahun bukanlah satu tempoh singkat yang mana UMP telah menempuh segala cabaran, bersaing untuk menjadi institusi pendidikan tinggi (IPT) terbaik dan menjadi pilihan para pemegang taruh.

“Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Ilahi apabila warga UMP dapat sama-sama mengharungi pelbagai halangan dan rintangan selama 20 tahun ini. 

“Anda semua adalah antara penggerak dan peneraju UMP pada ketika itu. Kejayaan UMP pada hari ini adalah kejayaan semua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Yuserrie berkata, pihaknya menyanjung tinggi dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga UMP dan pihak lain yang telah bersama-sama berganding bahu demi meningkatkan kecemerlangan universiti tercinta ini.

“Sehingga kini, UMP berjaya menggapai cita-cita kecemerlangan, menghasilkan bahan-bahan penyelidikan peringkat tempatan dan antarabangsa serta paling utama melahirkan ribuan graduan yang memenuhi ruang-ruang kerjaya profesional dalam mahupun luar negara.

“Kecemerlangan graduan ini telah meningkatkan citra UMP sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang terkemuka.

“Pengiktirafan yang telah diterima oleh UMP dalam dua dekad ini membuktikan pada usia sebegini kita sudah mampu terkehadapan dan mendahului dari segenap aspek,” katanya.

Menyorot kembali sejarah 16 Februari 2002 yang lalu, kerajaan Persekutuan telah bersetuju menubuhkan sebuah IPT ke-16 iaitu Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) yang kemudiannya dikenali sebagai UMP pada 1 Februari 2007.

 Meniti usia ke-20 tahun penubuhannya, UMP terus komited untuk maju dan sebagai mercu tanda kemajuan serta kecemerlangan ilmu pengetahuan di negeri Pahang khasnya dan negara Malaysia amnya sebagai salah sebuah universiti dalam jaringan universiti teknikal Malaysia (MTUN). 

 Bagi staf pasangan suami isteri, Aluwi Mohd. Sikah dari Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) dan isterinya, Hazariana Abdul Hamid dari Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK), pelbagai pengalaman pahit manis bersama UMP akan sentiasa terpahat dalam memori mereka berdua apatah lagi berbangga melihat pembangunan universiti pada masa ini.

Menurut Aluwi, sebagai ‘orang lama’ yang bersama UMP sepanjang 20 tahun ini dapat menyaksikan pelbagai perkembangan universiti tahun demi tahun.

“Saya dan isteri ingin mengucapkan terima kasih kepada UMP yang memberi penghargaan sijil dan hadiah wang sebanyak RM1,000 sebagai pengiktirafan kepada staf yang telah berkhidmat selama 20 tahun ini,” katanya.

Bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP juga, Yayasan UMP telah melaksanakan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas iaitu ‘UC’ bagi mengumpul dana dalam membantu kebajikan, penyelidikan dan pembangunan khususnya buat pelajar.

Sebagai sokongan dan tanda terima kasih kepada warga UMP, Yuserrie turut mengumumkan tawaran harga istimewa dan rebat diskaun sehingga 60 peratus diberikan khas kepada warga UMP yang berminat memiliki nombor pendaftaran khas UMP. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya