Dewan sekolah 10 tahun terbengkalai jadi sarang tikus - Utusan Malaysia

Dewan sekolah 10 tahun terbengkalai jadi sarang tikus

KEADAAN dewan serbaguna yang terbengkalai di SMK Cherang Ruku, Pasir Puteh sehingga hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Projek pembinaan dewan serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku, di sini yang menelan belanja jutaan ringgit masih belum siap sepenuhnya sebelum terbengkalai dan terbiar sebagai sarang tikus. 

Keadaan itu menimbulkan persoalan penduduk apabila melihat dewan serbaguna itu terbiar tanpa dimanfaatkan sejak hampir 10 tahun lalu.

Perkara itu menghampakan penduduk termasuk bekas pemilik tanah yang berkorban berpindah dan mencari kediaman baru demi memberi laluan kepada pembangunan di situ.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim mengesahkan bangunan itu terbiar dan semakin rosak akibat ribut.

Menurutnya, pelaksanaan projek pembangunan itu adalah di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu pakej khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Difahamkan projek ini dilaksanakan serentak dengan projek khas untuk  tandas sekolah, pejabat guru dan padang sekolah dalam pakej lapan yang sudah dibereskan.

“Cuma yang terbiar dan membazir ialah dewan serbaguna ini. Saya pun tidak tahu di mana silapnya. Bedah siasat perlu segera dilakukan KPM,” katanya ketika ditemui di Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, di sini semalam.

Menurut Wan Hassan, beliau telah membangkitkan isu berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Daerah yang turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), namun belum ada tindakan susulan.

“Usaha menyiapkan bangunan itu akan membolehkan ia dimanfaatkan oleh warga sekolah dan masyarakat setempat untuk melaksanakan pelbagai aktiviti.

“Paling tidak, mesyuarat PIBG SMK Cherang Ruku dan Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku tidak perlu lagi dilaksanakan di bawah bumbung kantin sekolah,” katanya.

Wan Hassan turut menggesa KPM turun padang untuk mencari punca yang menyebabkan projek berkenaan terbengkalai dalam tempoh terlalu lama sehingga menjadi projek gajah putih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya