DBP bangga PM memartabatkan bahasa Melayu di luar negara

DBP bangga PM memartabatkan bahasa Melayu di luar negara

ISMAIL SABRI Yaakob menerima tabik hormat perbarisan ketika lawatan rasmi ke Thailand baru-baru ini. – Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbahasa Melayu ketika acara lawatan rasmi di luar negara meraih pujian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Malah pengumuman beliau agar bahasa kebangsaan dipertuturkan dalam urusan rasmi di negara asing yang penduduknya kurang fasih bahasa Inggeris turut disambut baik agensi itu.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, langkah tersebut amat dialu-alukan dan dihargai oleh para pejuang serta pencinta bahasa berkenaan.

AWANG SARIYAN

“Pernyataan pemimpin negara di Thailand semalam bahkan membuka lembaran baharu untuk mengangkat semula bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa,” katanya.

Tokoh persuratan bahasa itu berkata demikian ketika dihubungi sebagai mengulas lawatan julung kali Perdana Menteri ke Kemboja dan Thailand sejak Rabu lalu dan berakhir semalam.

Kunjungan tersebut melakar sejarah apabila Ismail Sabri memeranjatkan pihak media asing yang mengikuti program rasmi itu dengan tampil berucap hanya dalam bahasa kebangsaan.

Beliau pada sidang akhbar di ibu kota Bangkok semalam menjelaskan tidak perlu berasa malu malah bangga kerana Malaysia perlu menjuarai bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN.

Sebelum itu pada 10 November 2021, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga berucap dalam bahasa Melayu dalam satu persidangan global di Scotland.

Tindakan berani pemimpin Pas itu turut menerima maklum balas positif rakyat Malaysia yang teruja dengan usaha beliau mengangkat imej bahasa kebangsaan di persada antarabangsa.

Mengulas lanjut, Awang yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, bahasa Melayu dari sudut sejarah memang bahasa diplomasi.

“Wujudnya warkah dan perjanjian antara banyak kerajaan Melayu dahulu dengan kuasa Barat sejak ratusan tahun lalu dalam teks bahasa Melayu sudah cukup jadi bukti kukuh,” tegasnya.

Sarjana terkenal Belanda, Van Linschoten dan Francois Valentijin sendiri ujarnya, menilai taraf dan peranan bahasa Melayu seperti bahasa Latin dan Perancis di Eropah ketika kurun ke-16.

Justeru, beliau merujuk memo Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 2011 menggalakkan bahasa itu untuk urusan surat menyurat peringkat antarabangsa dengan terjemahan Inggeris.

Sementara bagi perjanjian bertaraf sejagat, bahasa Inggeris digunakan namun mesti ada terjemahan Melayu sebagai rekod dan ini turut diulangi lagi dalam pekeliling JPA pada 2020 lalu.

Beliau turut mengimbau teguran Perdana Menteri awal Disember lepas yang turut kecewa dengan sikap sektor swasta yang mengabaikan bahasa kebangsaan setelah 60 tahun merdeka.

Mengenai iltizam Ismail Sabri agar bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi ASEAN, Awang berkata, DBP pernah mengusulkannya sejak tahun 2000 dan berharap ia menjadi realiti.

Cadangan itu malah dibentangkan dalam Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dengan berdasarkan jumlah penutur aslinya sekitar 300 juta orang di rantau Asia Tenggara.

“Ia tidak sahaja diucapkan secara luas di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura, bahkan sebahagian penduduk Thailand, Kemboja dan Filipina juga memahaminya,” kata beliau. UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya