Dadah: AGC tolak representasi gugur dakwaan isteri Adam Asmuni

Dadah: AGC tolak representasi gugur dakwaan isteri Adam Asmuni

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isteri Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Adam Asmuni gagal untuk membatalkan tiga pertuduhan berkaitan dadah yang dihadapinya selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dihantar wanita berkenaan.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin sewaktu sebutan kes tertuduh, Lyiana Roslee di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini, hari ini.

Pada 16 Februari tahun lalu, Adam,36, dan Lyiana, 35, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam pokok jenis Kanabis di sebuah rumah tahun lalu.

Pada prosiding sama, peguam bela, Nur Mustanir Md. Nor yang mewakili Lyiana memberitahu Majistret Farah Nasihah Annuar, laporan kimia berkaitan kes itu telah disiapkan namun kes masih belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi mengetahui status pemindahan ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam dan Lyiana didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 1580.4 gram dan mengedar cecair berbahaya jenis dadah sama berisi padu 7,870 milliliter (ml).

Kesalahan itu didakwa di lakukan di sebuah rumah di Duta Suria Residency, Ampang di sini pukul 7.30 malam pada 20 Januari 2021.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga pasangan itu didakwa menanam sembilan pokok disyaki pokok kanabis yang mana pokok itu diperolehi secara langsung atau tidak langsung pada tempat dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(A)(3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.  – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN