Covid- 19 : Tempoh singkat pengasingan wajar dilaksanakan

Covid-19 : Tempoh singkat pengasingan wajar dilaksanakan

DR HELMY HAMZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Tempoh pengasingan yang dikurangkan kepada lima hari bagi kes kontak rapat yang tidak bergejala wajar dilaksanakan, kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Helmy Hazmi.

Katanya, tempoh kuarantin lima hari bagi yang tidak bergejala ini adalah memadai dengan mengambil kira kadar vaksinasi, perubahan biologi virus varian Omicron dan juga keperluan untuk memastikan kemandirian sosio-ekonomi.

“Antara perubahan biologi pada varian Omicron adalah tempoh inkubasi yang lebih pendek dari varian Delta dan varian yang awal.

“Selain itu, tempoh selang bersiri atau serial interval untuk jangkitan Omicron adalah lebih pendek iaitu dua hari berbanding varian Delta iaitu empat hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ujarnya lagi, tempoh keberjangkitan Omicron juga menunjukkan tempoh yang lebih singkat.

“Tempoh selang bersiri merujuk kepada tempoh masa dari mula seseorang dijangkiti sehingga menunjukkan gejala dan seterusnya menjangkiti orang lain sehingga orang tersebut bergejala.

“Tambahan pula, beban virus dalam badan untuk Omicron adalah lebih rendah berbanding dengan delta. Oleh itu, mereka yang dijangkiti selalunya menunjukkan gejala yang ringan,” katanya.

Melihat kepada kadar litupan vaksinasi turut memainkan peranan kepada perubahan tempoh kuarantin ini.

“Kajian telah menunjukkan bahawa mereka yang telah lengkap dua dos vaksin dapat mengurangkan risiko mendapat jangkitan Omicron yang bergejala sebanyak 35 peratus, manakala yang telah mendapat dos penggalak dapat mengurangkan risiko jangkitan bergejala sebanyak 75 peratus.

“Bagi pekerja kesihatan pula, penghapusan kuarantin hanyalah untuk yang berisiko rendah dan tidak bergejala sahaja. Mereka masih perlu memantau kesihatan diri sendiri selama 14 hari,” kata Helmy.

Menegaskan panjang isu berkenaan, Helmy turut berharap agar masyarakat umum tidak menyalahertikan perubahan ini sebagai perubahan yang menyeluruh kerana pekerja kesihatan yang berstatus kontak rapat yang dinilai mempunyai pendedahan yang berisiko tinggi masih perlu menjalani isolasi ataupun ujian kendiri, bergantung kepada kewujudan gejala.

“Langkah ini perlu untuk memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diberikan dengan gangguan yang minimum, disamping memastikan keselamatan pesakit yang menerima rawatan.

“Bagaimanapun, perubahan-perubahan ini sentiasa disertakan dengan mesej menggunakan pelitup muka secara betul, mengelakkan tempat yang sesak dan memastikan pengudaraan yang baik, sebagai langkah tambahan,” ujarnya.

Dari segi keberkesanan keputusan itu dilaksanakan, beliau percaya aplikasi MySejahtera juga sudah mempunyai cirinya sendiri yang mana dapat menyemak status individu masing-masing sekiranya menjadi kontak rapat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya