IPOH: Kerajaan negeri tidak bercadang untuk menutup sekolah di negeri ini walaupun kes harian Covid-19 meningkat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini bagi mengelakkan pelajar daripada ketinggalan dalam pelajaran.
Menurutnya, kerajaan negeri mengambil maklum keluh kesah, aduan dan pandangan ibu bapa pelajar berikutan kes Covid-19 yang meningkat.
“Sekolah dibuka seperti biasa, kita tidak mampu untuk menutupnya kerana saya menerima laporan ramai pelajar sudah tidak minat ke sekolah. Saya mengajak semua pihak agar sentiasa berwaspada kerana kalau sekolah tutup sekali lagi, pelajar akan keciciran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Smart G-Tuisyen dan Program Makanan Percuma Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, sekolah di negeri Perak berada dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, guru dan kakitangan berjaya memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi untuk membendung jangkitan Covid-19.
“Pihak sekolah mengenal pasti pelajar yang mempunyai simptom dan mereka ini tidak dibenarkan masuk ke sekolah,” katanya. – UTUSAN