PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) khusus untuk kes Covid-19 di tujuh negeri ketika kini mencatatkan kadar melebihi 50 peratus.
Menurut Dr, Noor Hisham, negeri terlibat ialah Kelantan dengan 92 peratus, diikuti Johor sebanyak 61 peratus, Perlis (55 peratus), Perak (53 peratus) serta Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka pula sebanyak 50 peratus.
Menurut Dr. Noor Hisham, penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di dua negeri turut mencatatkan kadar melebihi 50 peratus iaitu masing-masing 59 peratus di Melaka dan 54 peratus di Selangor.
“Penggunaan katil bukan ICU di 12 negeri juga mencatatkan kadar melebihi 50 peratus iaitu Selangor (107 peratus), diikuti Kelantan (97 peratus), Putrajaya (93 peratus), Kuala Lumpur (90 peratus), Perak (89 peratus) dan Perlis (75 peratus).
“Kemudian diikuti oleh Johor (70 peratus), Pahang (67 peratus), Sabah (67 peratus), Terengganu (61 peratus), Sarawak (59 peratus), dan Pulau Pinang (59 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Mengenai angka jangkitaan baharu, Dr. Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 30,644 kes direkodkan semalam iaitu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 32,070 kes kelmarin.
Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 30,387 kes adalah penularan tempatan manakala 257 lagi adalah kes import dan jumlah jangkitan terbaharu tersebut menjadikan keseluruhan individu yang dijangkiti kini berjumlah 3,367,871 kes.
“Berdasarkan statistik, sebanyak 9,557 kes atau 31.19 peratus adalah dalam Kategori 1, manakala Kategori 2 sebanyak 20,931 kes, Kategori 3 pula 91 kes, Kategori 4 sebanyak 39 kes) dan 26 kes dilaporkan untuk Kategori 5.
“Sebanyak 33 daripada 156 kes Kategori 3, 4 dan 5 yang dilaporkan itu dikenal pasti tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi, manakala 77 lagi belum menerima dos penggalak.
“Selain itu, sebanyak 46 kes atau 29.49 peratus sudah menerima dos penggalak, manakala 78 kes lagi berusia 60 tahun ke atas, komorbiditi (89 kes) dan ibu mengandung (dua kes),” katanya.
Sementara itu katanya, Kementerian Kesihatan turut mencatatkan 22,678 kes sembuh semalam selain 332 kes pula dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 196 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam pada itu kata Dr. Noor Hisham, individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti Covid-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan wabak berkenaan.
“Kementerian Kesihatan menasihatkan individu ini agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19. Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir ke temu janji tersebut demi melindungi diri dan orang tersayang,” katanya UTUSAN