ALOR GAJAH: Kerajaan negeri mencadangkan Kementerian Kesihatan untuk mengambil kira kes positif Covid-19 kategori tiga, empat dan lima sahaja sebagai data statistik harian.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, laporan statistik harian yang tinggi hanya akan menakutkan rakyat, sekali gus merencatkan ekonomi negeri yang baru hendak pulih setelah dua tahun bergelut disebabkan pandemik.
Tegasnya, pendekatan yang digunakan ketika ini juga dilihat tidak tepat kerana memasukkan semua kategori pesakit tanpa mengambil kira yang mempunyai simptom atau tidak, kontak rapat dan sebagainya.
“Kadang-kadang saya rasa pendekatan kita tidak tepat. Saya minta KKM hanya memasukkan kes-kes serius sahaja ke dalam statistik seperti kategori tiga, empat dan lima. Janganlah orang batuk pun hendak masuk dalam statistik.
“Justeru, saya telah membawa cadangan untuk mengguna pakai kaedah pelaporan statistik Covid-19 seperti di Thailand, Singapura dan Indonesia dalam mesyuarat kerajaan negeri semalam. Negara-negara ini hanya mengumumkan kes-kes yang serius sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Balai Adat Perkahwinan Melayu Asli di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir. Ismail Abd. Rahman dan Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (Inswa), Nurman Mohd. Baroldin.
Tambah Muhammad Jailani, beliau berharap pihak berwajib tidak membuat kenyataan sembarangan kerana ia akan memberi kesan negatif kepada ekonomi dan pelancongan.
Bagaimanapun, katanya, sektor pelancongan di Melaka belum kritikal dan masih ada ruang untuk ditambah baik.
“Memang ada penurunan jumlah kehadiran pelancong ke Melaka, tetapi masih tidak kritikal. Saya bekerja keras buat benda ini (untuk tarik pelancong). Bila buat macam itu (kenyataan sembarangan), kita jadi frust (kecewa).
“Kita hendak pastikan rakyat dapat cari makan dan menjana pendapatan. Tetapi apabila rakyat sukar mencari rezeki, mereka akan menyalahkan kerajaan kelak,” ujarnya. – UTUSAN