Cita-cita tinggi Freshtown Records

Cita-cita tinggi Freshtown Records

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA hampir dua tahun menulis untuk ruangan Rondivu, saya sudah jumpa ramai penyanyi, kugiran dan penggerak belakang tabir lapangan muzik independen. Mengenali mereka, ada persamaan yang saya temui. Apabila berbual tentang lapangan, mereka tidak hanya bercerita tentang kemajuan sendiri sebaliknya kemajuan lapangan secara keseluruhannya.

Amalan independen dalam lapangan ini bermula dengan sikap dan falsafah do it yourself (DIY). Namun, DIY bukan bermaksud semua orang bekerja secara sendiri dan terasing. DIY dalam konteks sebuah komuniti bermaksud seluruh komuniti bekerjasama untuk membangun.

Lapangan muzik independen menolak kebergantungan kepada entiti arus perdana. Tidak perlu menagih bantuan kerajaan atau media gergasi. Jika entiti arus perdana mahu bantu, mereka terima. Jika tidak, mereka buat sendiri. Itu semangatnya.

Minggu ini, sekali lagi saya bertemu kumpulan yang berpegang teguh kepada amalan dan semangat ini. Mereka gelarkan diri sebagai Freshtown Records. Sebuah kolektif pengeluar cenderamata, penganjur acara dan label rakaman yang berfokus kepada pembangunan muzik hardcore tempatan.

Dari cenderamata ke label rakaman

Mereka bermula sederhana. Pengasasnya, Jeman dan Apek bertemu kemudian membentuk kolektif yang menawarkan khidmat mengeluarkan cenderamata untuk kugiran. Perlahan-lahan, kolektif ini berkembang dan mula menganjurkan acara. Hari ini, mereka juga menjadi label rakaman untuk empat kugiran, termasuk satu dari Singapura.

Tahun ini Freshtown Records menyambut ulang tahun kelima. Banyak yang dirancang tetapi nasib bukan selalu di sebelah kita.

“Sepa­tutnya pada 2020, kami anjurkan beberapa siri jelajah dengan kugiran antarabangsa. Malangnya, pandemik tiba dan menggagalkan semua perancangan.

“Tapi kami masih cuba aktif pada tahun itu. Kami berjaya anjurkan beberapa gig dalam talian termasuk siri World Without Borders. Sekurang-kurangnya, kami tidak berhenti,” kongsi Azril, salah seorang penggerak utama Freshtown Records ketika ini.

Tiga siri World Without Borders merupakan kejayaan buat kolektif ini kerana sambutan yang diterima sangat menggalakkan. World Without Borders Volume 3 yang dianjurkan pada 28 November 2020 merupakan antara gig dalam talian dengan penonton teramai di laman web TAPAUasia. Lebih 1,600 penonton dicatatkan.

Serah obor tiga penjuru

Tiga kugiran tempatan yang bernaung di bawah Freshtown Records ialah Esclave857, Krusty dan Consecrate. Antara gig menarik yang dianjurkan kolektif ini ialah Triple Threat yang menggabungkan ketiga-tiga kugiran naungan mereka. Sepatutnya empat tetapi penutupan sempadan menyukarkan penyertaan saudara mereka dari Singapura, Deceased.

Menurut Hutch, gig tersebut juga simbolik penyerahan obor legasi harcore kolektif itu kepada kugiran yang lebih baharu.

“Esclave857 dan Krusty lebih lama dalam lapangan berbanding Consecrate tapi dalam gig ini, kami yang buka pentas untuk Consecrate. Kami mahu orang kenal kugiran baharu supaya legasi itu terus berjalan,” katanya yang juga merupakan vokalis untuk Esclave857.

Triple Threat merupakan jelajah dalaman yang dianjurkan Freshtown Records untuk kugiran naungannya. Bermula di Ipoh, mereka akan bergerak ke Johor dan negeri-negeri lain selepas ini.

Kongsi Aqil, jelajah merupakan budaya utama kugiran hardcore memandangkan peminat genre ini berada di serata dunia. Ia juga hasil rangkaian komuniti hardcore yang aktif dan rapat dari negara-negara terutamanya di rantau Asia.

“Hardcore ini kalau dapat buat persembahan di Jepun, itu dikira kejayaan besar. Ia akan buka jalan untuk jelajah lebih jauh sehingga Eropah,” katanya.

Perayaan lima tahun

Sempena ulang tahun kelima mereka, Freshtown Records menganjurkan Knocked Out Festival pada 5 Mac ini. Ini merupakan impian mereka yang lama dipendam.

“Aku tengok banyak negara ada festival hardcore yang besar. Kami nak buat macam itu juga. Festival besar yang kumpulkan kugiran hardcore dari seluruh dunia.

“Tapi untuk edisi pertama ini kerana kekangan penutupan sempadan, kami fokus untuk kugiran tempatan dahulu,” kata Azril.

Knocked Out Festival 2022 akan menampilkan sembilan kugiran iaitu Esclave857, Krusty, Consecrate, Triangle, Moneybag1327, WTNSS, Transitions, Damaged dan Servants.

Dianjurkan di BSYNC Production, Kuala Lumpur, mereka yang mahu mendapatkan tiket boleh menghubungi Freshtown Records di semua media sosial mereka atau beli tiket di atasangin.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya