CGSO sasar banyak jabatan diberi penarafan 5 bintang

CGSO sasar banyak jabatan diberi penarafan 5 bintang

WAN Ramiza Wan Ghazali (dua kiri) dan Rahimi Ismail (dua kanan) menunjukkan dokumen perjanjian persefahaman pada majlis menandatangani MoU antara LHDNM dengan CGSO di Menara Hasil Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) menyasarkan lebih banyak agensi dan jabatan kerajaan akan memperoleh penarafan cemerlang lima bintang.

Ketua Pengarahnya, Rahimi Ismail berkata, perkara tersebut selaras dengan teras pelan strategik CGSO yang dilancarkan sejak tahun 2020 bagi melindungi keselamatan kerajaan.

“Justeru, demi menjayakan matlamat ini, kami akan sentiasa melaksanakan program inspektorat ke atas semua badan awam pada setiap tahun bagi penilaian semasa,” katanya.

Terdahulu, beliau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) julung kali antara CGSO dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di Menara Hasil di sini hari ini.

LHDNM diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Wan Ramiza Wan Ghazali dan disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Rakon.

Pemeteraian MoU itu membolehkan LHDNM menambah baik tahap keselamatan rekod para pembayar cukai selain meningkatkan kesedaran melalui program kursus anjuran CGSO.

Mengulas lanjut, Rahimi berkata, LHDNM turut dijadikan seumpama ‘anak angkat’ CGSO kerana ia muncul sebagai organisasi pertama di negara ini menjalinkan MoU sedemikian.

“Menerusi kerjasama ini, CGSO menawarkan Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia (Ilken) di Enstek, Negeri Sembilan bagi siri latihan pegawai LHDNM,” katanya.

Jalinan strategik dua agensi itu, ujarnya, sudah bermula pada 2017 yang melibatkan LHDNM Selangor dan Labuan sebelum MoU dirangka akhir tahun lalu bagi meliputi seluruh negara.

Beliau berharap, pencapaian LHDNM dalam aspek pematuhan keselamatan perlindungan akan kemudian dijadikan sebagai tanda aras bagi semua agensi dan jabatan kerajaan.

Usaha itu tegasnya, amat penting kerana isu tersebut tidak boleh dikompromi apatah lagi maklumat sensitif kerahsiaan data jutaan pembayar cukai yang perlu dipelihara setiap masa.

Sehubungan itu, CGSO tambah Rahimi akan menganjurkan konvensyen khas yang akan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali pada 26 Mei depan.

“Di sini kelak, CGSO akan memaklumkan pelbagai program strategi untuk rujukan dan panduan semua agensi awam bagi memastikan urus tadbir keselamatan mampan,” katanya.

Pada konvensyen itu, badan kerajaan yang berjaya memperoleh penarafan bintang terbaik akan dihebah sebagai motivasi kepada semua pihak untuk mencontohi kejayaan tersebut.

CGSO telah ditubuhkan pada 15 Jun 1957 dan bertanggungjawab kepada Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri di bawah pelbagai pekeliling am terutama Akta Rahsia Rasmi.

Ia berperanan dalam memberi khidmat nasihat kepada kerajaan bagi membantu mengekalkan keselamatan perlindungan fizikal, aset, dokumen dan perjawatan awam semua agensi.

 Tugas berat tersebut bagi memastikan tiada kebocoran, sabotaj, pengintipan elemen asing maklumat rahsia negara dan pelanggaran data rekod kerajaan tanpa kebenaran oleh pihak luar.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya