TEMERLOH: Survival pokok buah larok merah atau larak, sejenis pokok berkayu berakar yang memanjat pokok lain dan digunakan dalam perubatan tradisional kini semakin terancam.
Pokok dengan nama saintifiknya polyalthia beccarii itu terus terancam berikutan kelestarian hutan, lembah dan sungai semakin dicemari dan tuntutan pembangunan yang tidak terhenti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pencinta Perubatan Melayu dan Kelestarian Alam, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, pokok herba berakar itu dahulunya mudah ditemukan di hutan belukar atau pinggiran hutan dan tumbuh di tebing sungai berjuntaian semasa berbuah.
Tambah beliau, rasa buah larok masam-masam manis, berbiji dan sedikit kelat digunakan oleh pengamal perubatan dan bahan minuman untuk ibu lepas bersalin dan keracunan makanan.
“Buah itu semakin kurang dikenali generasi sekarang berikutan kesukaran memperolehnya disebabkan pelbagai faktor seperti penerokaan hutan yang tidak terkawal.
“Generasi dewasa yang tinggal di kampung tentu masih bernostalgia menikmati buah ini bersama biji-bijinya dicecah sambal belacan walaupun sedikit kelat,” katanya di sini semalam.
Aripin anak kelahiran Kampung Batu, Bor Chenor dekat sini mengakui buah-buahan hutan seperti buah larok antara buah yang sering menjadi makanan ‘tambahan’ semasa usia kanak-kanaknya.
Bagi pengamal ubatan tradisional, Soib Harun, 64, berkata, bidan-bidan kampung menggunakan buah larak sebagai campuran ubat untuk ibu-ibu yang baharu bersalin terutama bagi mengecutkan saluran peranakan.
Tambah beliau, buah dan bunga larak berbau harum turut menjadi ‘teman rezeki’ sang lebah dan unggas lain sebagai makanan serangga berkenaan.
“Kepupusan pokok larok dan spesies hutan lain bukan sahaja menjejaskan rezeki manusia tetapi juga penghuni alam yang berkongsi sejak dahulu lagi,” katanya.
Menurutnya, teras daripada akar pokok larok yang kedudukan songsang juga menjadi rebutan pengamal ilmu kebatinan bagi tujuan ‘ilmu pelimun’.
“Akar ini dikenali jenis Larak Salah dan ia amat sukar ditemukan berikutan batang pokoknya yang melingkar mengikut arah kiri dan jenis daun yang terbalik,” katanya. – UTUSAN