Bomba Negeri Sembilan terima dua aduan rekahan struktur bangunan - Utusan Malaysia

Bomba Negeri Sembilan terima dua aduan rekahan struktur bangunan

ANGGOTA bomba tiba di sebuah hospital swasta di Seremban selepas menerima aduan berlaku rekahan struktur di bangunan hospital tersebut susulan gegaran yang berlaku pagi tadi. - GAMBAR/IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak dua laporan rekahan struktur akibat gegaran diterima pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan susulan kejadian gempa bumi yang berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pagi tadi.

Ketua Zon Seremban, Penguasa Kanan Bomba II, Khir Amir Ahmad berkata, pihaknya menerima satu laporan mengenai struktur yang mengalami rekahan selepas gegaran di sebuah hospital swasta di sini.

“Setibanya di lokasi, kami mendapat maklumat mengenai rekahan konkrit di tingkat lapan bangunan hospital tersebut. Bagaimanapun, setelah diperiksa ia bukan disebabkan oleh gegaran gempa bumi namun adalah retakan lama dan kami telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menilai semula struktur tersebut.

“Dalam pada itu, anggota bomba turut melaksanakan kerja pengungsian (evacuation) dan membuat pemeriksaan struktur secara fizikal pada bangunan bagi memastikan bangunan itu tiada aspek berbahaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, di Port Dickson, pihak bomba turut menerima aduan berikutan terdapat habuk rekahan akibat gegaran itu di tingkat satu di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd. Hairul Izam Mazelan berkata, pihaknya telah menghantar sepasukan anggota bomba ke kompleks berkenaan.

“Setibanya di lokasi, kakitangan kompleks sudah mengosongkan bangunan berkenaan dan kami mendapati terdapat habuk rekahan di tingkat satu namun ia masih selamat dan tidak berbahaya.

“Kami juga ada menjalankan pemeriksaan sekiranya ada berlaku rekahan lain. Bagaimanapun, setelah diperiksa, struktur bangunan berada dalam keadaan selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya