PETALING JAYA: Penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu tampil memberi pandangan dan nasihat buat mereka yang menyertai pertandingan realiti.
Perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu popular Cintaku 100% itu menerusi entri Instagram miliknya.
Menurut Mas Idayu yang lebih disapa Mummy, bagi mereka yang menyertai program realiti seperti nyanyian misalnya, tidak perlu menjadikan masa yang singkat sebagai satu alasan.
Tambahnya, peluang yang telah diberikan seharusnya digunakan sebaik mungkin andai mahu serius dalam bidang seni.
“Dalam pertandingan, kamu tidak boleh beri alasan masa terlalu singkat untuk lakukan itu dan ini.
“Kamu yang buat keputusan untuk ke sini… Bila diberi peluang, rebut peluang itu.
“Tiada pertandingan yang mengambil masa setahun untuk kamu menjadi bagus. Wajib cepat belajar dan cepat fokus!” katanya di Instagram.
Mengulas lanjut, mereka juga harus bersikap terbuka dalam menerima apa sahaja teguran yang bakal dilontarkan.
“Kalau kalian nak tiap hari pujian tanpa teguran, bukan di sini tempatmu..
“Semoga esok kalian lebih baik,” ujarnya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet turut bersetuju dengan kenyataan yang dicoretkan penyanyi itu.
“Betul mummy, peluang hanya datang sekali. Jadi, apabila sudah diberi peluang. Rebutlah sebaik mungkin. Fokus untuk jadi terbaik,” komen pemilik akaun @sweetnov81.