KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan hingga 3 Mac ini perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datin Seri Zizie Izette A. Samad berkaitan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah kerana salah seorang peguam yang mewakili pelakon itu disahkan positif Covid-19.
Peguam Ridha Abdah Subri yang hadir bagi pihak Bung Moktar dan Zizie Izette memberitahu, peguam yang mewakili Zizie Izzete (tertuduh kedua) disahkan positif pada 20 Februari dan kini menjalani kuarantin sehingga 26 Februari ini.
Beliau yang mewakili Bung Moktar memaklumkan, peguam Datuk K. Kumaraendran yang juga mewakili Zizie Izette dan M. Athimulan yang mewakili Ahli Parlimen Kinabatangan itu adalah kontak rapat kepada peguam berkenaan.
“Kedua-duanya turut menjalani kuarantin,” ujar Ridha Abdah pada prosiding di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan pendakwaan untuk menyoal balas seorang saksi utamanya, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, yang dianggap sebagai saksi belot (hostile witness) dalam perbicaraan kes rasuah berkenaan.
Rozina kemudian menetapkan 3 Mac ini untuk mendengar permohonan pendakwaan yang dibuat mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950.
Pada 14 Februari lalu, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan untuk menyoal balas perunding unit amanah itu ekoran keterangannya bercanggah dengan rakaman percakapan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan kes tersebut.
Pada 27 Januari lalu, Norhaili yang merupakan saksi pendakwaan ke-25 memberitahu, pelakon Zizie Izette layak mendapat wang pengenalan (introduction fee) RM2.8 juta selepas Felcra bersetuju melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Ujarnya, Zizie Izette yang juga kenalannya berhak mendapat wang tersebut selepas memperkenalkan beliau kepada suaminya yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra dan seorang lagi pegawai kanan agensi itu.
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memberitahu, pihaknya mendapati wujud percanggahan yang material di antara keterangan di mahkamah dan rakaman percakapan yang diberikannya sebelum ini.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar, selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN