ISKANDAR PUTERI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertekad untuk memastikan UMNO berkubur di negeri kelahiran parti itu sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, cara itu bagi menafikan hasrat Barisan Nasional (BN) yang kini sedang giat membunuh karakter Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Wan Saiful berkata, pihaknya sedar terdapat usaha yang digerakkan UMNO dan BN yang mahu mencalarkan imej dan kredibiliti Muhyiddin bagi menguburkan Presiden parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
“Kita faham kehendak UMNO adalah kuburkan Bersatu di negeri Johor tetapi di peringkat kita pula, kita nak UMNO dikuburkan di negeri mereka dilahirkan.
“Strategi yang digunakan UMNO ini adalah pembunuhan karakter. Bagi mereka disebabkan Presiden UMNO seorang yang diragui kredibilitinya dan menghadapi pelbagai kes mahkamah.
“Dalam keadaan tiada pilihan, itulah Presiden yang mereka ada. Jadi, mereka perlu pastikan Presiden parti lain juga dianggap tidak bersih. Saya tidak peliklah UMNO dan BN nak membunuh karakter Muhyiddin ini sebab tiada pilihan,” katanya.
Pembunuhan karakter
Beliau berkata demikian selepas program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di DCM Hall, Taman Universiti, di sini.
Wan Saiful berkata, tindakan pembunuhan karakter yang dilakukan UMNO itu adalah langkah terdesak kerana Muhyiddin mempunyai rekod bersih.
“Macam saya cakap dalam ceramah tadi, kalau ditampal gambar (Datuk Seri Dr. Ahmad) Zahid Hamidi sebelah Tan Sri (Muhyiddin), saya rasa orang akan gelakkan sahaja jika nak buat perbandingan itu.
“Jadi, ini peluang kita dan rakyat untuk tunjukkan kepada UMNO yang sudah itu sudahlah. Kita dalam Perikatan Nasional (PN) fokus untuk pastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik.
“Kita tak mahu rakyat dapat kerajaan yang diragui integritinya dan hanya mahu memperkaya diri sendiri, sebab itu kita mahu rakyat jangan undi BN dan UMNO,” katanya.
Tambahnya, rakyat perlu menolak UMNO dan BN dalam PRN Johor dengan mengundi PN yang mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, amanah dan berintegerti. – UTUSAN