MELAKA: Bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Mohamad Yusof Kameh menafkan menerima suapan bernilai RM5,900 bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembekalan membabitkan agensi itu di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Dia yang masih berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah AADK Pulau Pinang membuat pengakuan itu sejurus empat pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan satu hingga empat, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pengarah AADK Melaka didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah keseluruhan RM5,900 daripada Budyarif Rahmat.
Wang tunai itu sebagai upah memilih tiga buah syarikat bagi kerja-kerja menyelenggara lokap dan set generator di AADK Daerah Jasin serta pembekalan beg kertas dan kelengkapan bagi Program Kembara Perdana Bulan AADK negeri.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat AADK Melaka, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh antara 24 November 2017 sehingga 19 Mac 2019.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Tertuduh yang berusia 55 tahun itu juga ditawarkan dengan empat tuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi semua pertuduhan.
Beliau turut memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Sungai Petani, Kedah sehingga kes selesai.
Mohamad Yusof yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jumlah tersebut dikurangkan.
Mahkamah kemudian mengekalkan cadangan jaminan sebanyak RM5,000 dan membenarkan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.
Elesabet menetapkan tarikh 16 Mac sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN