Batal jual istana lama kemenangan rakyat, persatuan warisan - Utusan Malaysia

Batal jual istana lama kemenangan rakyat, persatuan warisan

KEADAAN Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan yang kini dijaga persekitarannya berbanding keadaan semak sebelum ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Persatuan Sejarah Malaya menyifatkan pembatalan penjualan Istana Raja Muda di Teluk Intan sebagai satu kemenangan kepada rakyat dan persatuan sejarah yang memperjuang agar warisan diraja negeri ini dikekalkan.

Ahli Jawatankuasa persatuan itu, Hairul Alias berkata, pihaknya gembira dengan pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad kelmarin bahawa kerajaan negeri membatalkan penjualan tapak Istana Raja Muda berikutan bantahan ramai.

Katanya, pengumuman itu sememangnya sangat dinanti-nantikanbanyak pihak termasuk persatuan sejarah yang mahu tanah dan istana lama di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan itu dikekalkan.

“Kami gembira kerana hasrat melihat bangunan warisan itu dikekalkan akhirnya tercapai.

“Bagi kami ini adalah satu kemenangan kerana sebelum ini usaha kami mempertahan lain-lain tapak warisan tidak berjaya, tiada siapa yang peduli tetapi untuk tapak Istana Raja Muda ini, usaha rakyat dan persatuan sejarah telah berjaya.

“Ramai yang mengucapkan tahniah kepada persatuan, kita sudah menang kata mereka. Terima kasih kepada Menteri Besar, ini menunjukkan beliau mendengar suara rakyat yang mahu nilai sejarah pada istana dan tapaknya tidak dijual,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hairul berkata, di sebalik kegembiraan itu, istana lama itu perlu dibangunkan segera agar tidak terus terbiar.

Menurutnya, jika bangunan dan tanah di situ terus terbiar dan kosong seperti sebelum ini, lama kelamaan timbul lagi cadangan untuk menjualnya.

Katanya, untuk itu pihak yang menjaga atau pemilik tanah dan bangunan itu perlu mengusahakan sesuatu untuk menghidupkan semula istana lama itu.

“Kawasan ini boleh dibangunkan dengan apa jua projek asalkan ia dimajukan dan memberi impak positif kepada bandar dan penduduk seperti diwujudkan galeri daripada dibiarkan kosong seperti dahulu,” katanya.

Kelmarin, Saarani berkata, Kerajaan Negeri Perak sudah membatalkan tender penjualan tapak bekas Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan.

Menurutnya, pembatalan itu dibuat selepas tender secara terbuka untuk laluan pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur itu mendapat bantahan orang ramai.

Saarani berkata, bekas tapak istana itu juga tidak akan disewakan kepada mana-mana pihak. Sebelum ini, Saarani menghadap Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah berhubung isu keputusan penjualan bekas tapak istana itu.

Ini selepas jualan secara tender terbuka itu mengejutkan pelbagai kerana ia dianggap sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak dan wajar dikekalkan dan dipulihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya