KOTA BHARU: Banjir melanda Kelantan sejak dua hari lalu bertambah buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 3,871 orang.
Jumlah tersebut dilaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi portal Info Bencana JKM setakat pukul 11 pagi ini.
Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 2,706 orang diikuti Kuala Krai (458 orang), Tanah Merah (353 orang), Jeli (268 orang) dan Pasir Puteh (86 orang).
Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan dua sungai utama masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Jenob (Tanah Merah) dan Sungai Temangan di Machang.
Sementara itu, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah) dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu kini melepasi paras amaran.
Sungai Lebir dan Sungai Karangan di Kuala Krai, Sungai Lanas dan Sungai Air Bol di Jeli serta Sungai Semerak dan Sungai Pasir Puteh di Pasir Puteh pula berada pada tahap waspada dengan trend menaik.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir disarankan berwaspada dengan keadaan terkini cuaca dan segera berpindah ke PPS jika diminta berbuat demikian.
Sementara itu kerajaan negeri menerusi eBanjir Kelantan melaporkan beberapa jalan utama telah ditutup akibat dinaiki air.
Antaranya, Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang dan Jalan masuk ke Loji Membersih Air Bukit Remah yang ditutup kepada semua kenderaan serta Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh yang ditutup kepada kenderaan ringan. – UTUSAN