balu terima Perkeso

Balu tukang kebun terkejut terima faedah Perkeso

FUAD Alias menyerahkan bantuan kepada Haslina Husain ketika mengunjungi balu Allahyarham Noor Azmi Mohd. Noor di Taman Chembong Jaya, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Balu seorang tukang kebun yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya empat hari lalu tidak menyangka menerima pencen bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hasil caruman Allahyarham suaminya.

Haslina Husain, 57, yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak Perkeso mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak tahu Allahyarham suami ada buat caruman Perkeso sehinggalah dimaklumkan oleh pihak Perkeso. Tuhan sahaja yang tahu betapa leganya menerima faedah bulanan ini kerana tentu dapat banyak membantu urusan saya selepas ini,” katanya.

Dia ditemui sempena penyampaian Faedah Perkeso di Taman Chembong Jaya, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Noor Azmi Mohd. Noor, 56, maut apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dipercayai terlanggar kerbau melintas dalam kejadian di Kilometer 2.6, Jalan Pedas-Kundur-Linggi, di sini pada 21 Februari lalu.

Sementara itu, Haslina berkata, dia masih bersedih dengan pemergian suaminya apatah lagi selama ini mereka hanya tinggal berdua tanpa dikurniakan cahaya mata sejak berkahwin pada tahun 2001.

“Suami saya sentiasa bersama dengan saya dan menerima kekurangan diri saya yang cacat fizikal kaki serta tangan kanan sejak kecil,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, Allahyarham terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dan layak menerima faedah berupa pengurusan mayat sebanyak RM2,000.

“Arwah meninggalkan seorang isteri dan waris layak menerima faedah iaitu Pencen Orang Tanggungan dengan kadar harian sebanyak RM18.29. Jumlah faedah ini tertakluk bersamaan jumlah hari dalam bulan iaitu 30 hari bersamaan RM548.99 atau 31 hari bersamaan RM566.99. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya