Balai Adat Perkahwinan Melayu Asli ikon pelancongan baharu Melaka

Balai Adat Perkahwinan Melayu Asli ikon pelancongan baharu Melaka

BANGUNAN Balai Adat Perkahwinan Melayu Melaka yang terletak di Dataran Keris di Alor Gajah, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Muzium Adat Istiadat yang terletak di Dataran Keris di sini diberi nafas baharu sebagai Balai Adat Perkahwinan Melayu Asli Melaka yang bakal menjadi lokasi penganjuran majlis perkahwinan dan kebudayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, bangunan yang menjalani proses ubah suai dan penggantian struktur yang uzur sejak 2018 itu dijangka dibuka kepada orang ramai menjelang Ramadan.

Katanya, meskipun menampilkan konsep berteraskan adat dan budaya Melayu, namun masyarakat bukan Melayu turut dialu-alukan untuk bersama merasai pengalaman yang menarik itu.

“Kita mengalu-alukan sesiapa yang berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan di Balai Adat termasuk bukan Melayu. Ikon baharu pelancongan ini terbuka kepada sesiapa yang berhajat untuk melangsungkan majlis di sini.

“Aktiviti pertama yang kita akan buat di sini adalah perkahwinan berkelompok. Sesiapa yang hendak berkahwin tetapi dengan bajet rendah, bolehlah buat di sini kerana kita akan sediakan pakej-pakej menarik. 

“Selain itu, Balai Adat juga akan dijadikan sebagai restoran minang, sebagai fasiliti alternatif memandangkan majlis perkahwinan adalah bermusim,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Balai Adat Perkahwinan Melayu Asli di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir. Ismail Abd. Rahman dan Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (Inswa), Nurman Mohd. Baroldin.

Sementara itu, Nurman memaklumkan, kerja-kerja baik pulih telah dijalankan sejak 2018 dengan kos tidak melebihi RM1 juta.

Menurutnya, struktur-struktur lama yang telah uzur dan reput seperti kayu, papan, pendawaian elektrik dan cat telah digantikan dengan yang baharu bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pengunjung.

“Inswa bertindak sebagai pengelola atau pengendali bangunan ini. Fokus kami kini adalah untuk meletakkan hiasan dalaman. Saya yakin kami sudah bersedia untuk beroperasi sepenuhnya selepas Aidilfitri nanti.

“Balai Adat Perkahwinan Melayu Asli Melaka ini akan menjadi satu lagi produk tarikan baharu yang menonjolkan negeri ini sebagai sebuah negeri yang penuh dengan adat warisan dan budaya kepada pelancong tempatan mahupun luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya