Atas bumbung - Utusan Malaysia

Atas bumbung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

(1)
Detik membimbangkan, menakutkan dan melemahkan seluruh badan. Keadaan menjadi kelam-kabut. Apa lagi dalam gelap-gelita tanpa elektrik. Menahan kelaparan dan kesejukan. Kekejangan kaki. Terpaksa memanjat dan menggunakan dua tangga untuk panjat ke bumbung. Bumbung itu sedang dibaiki. Melihat air di mana saja di bawah bumbung dengan kereta terapung.
Sungguh cepat memanjat kebetulan jiran-jiran turut sama dalam kegemparan. Cepat secepatnya untuk memanjat kerana air terlalu deras. Ternyata tidak selamat. Paras air semakin menghampiri menyebabkan mula berfikir sama ada mahu terus bertahan di atas bumbung. Tetapi mahu pergi k emana?
Bahana terperangkap dalam banjir sungguh tidak keruan., Terpaksa menunggu bantuan sejak rumahnya dinaiki air pada pukul 8 malam kelmarin. Dengan perasaan yang sukar untuk dibayangkan apa lagi air begitu cepat naik dengan mendadak.
Dalam keadaan tergesa-gesa, ada ada orang kurang upaya, bayi dan ibu mengandung antara individu yang berada di atas bumbung. Begitu juga haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Dari malam tiada bantuan atas bumbung. Semua dalam kesejukan.
Arisya dan suaminya Eiyad telah bersiap sedia menghadapi banjir dengan memindahkan barangan elektrik dan dokumen penting di tempat lebih tinggi kerana kawasan tempat tinggalnya memang kerap dilanda bencana.
Bagaimanapun air naik sangat cepat melebihi paras dada tidak sampai satu jam. Begitu cepat arus hingga mereka cuba berlindung di surau. Malangnya, surau turut dinaiki air sehingga paras bumbung dan terpaksa menunggu bantuan dalam hujan dan sejuk sepanjang malam.
“Bila penyelamat datang?” Pertanyaan Arisya tidak terjawab oleh sesiapa. Sudah empat jam di atas bumbung. Pengalaman ini memeritkan dan sukar untuk menenangkan fikiran.
Banjir itu mengakibatkan kehilangan barang berharga seperti kereta selain pakaian dan barangan elektrik. Semua tunggang terbalik. Tiada satu pun dapat diselamatkan.
Memandang anaknya Diyana yang berumur 2 tahun dan nyenyak tidur. Masih terus menanti pasukan penyelamat.
Medium media sosial dijadikan alternatif bagi memohon bantuan terutamanya pasukan penyelamat. Masing-masing sibuk dengan telefon sehingga telekomunikasi terputus. Dengan terputus Internet dan media sosial mereka tidak tahu untuk buat apa.
Dalam trauma, doa, zikir dan tawakal menjadi peneman dalam kesabaran di atas bumbung.

(2)
Para penduduk hanya dapat keluar dari kawasan apabila air mula surut. Perasaan terdesak dan lapar yang dirasai ribuan yang terperangkap di atas bumbung. Bila bot lalu sukarelawan menjerit ‘Makanan! Makanan!’
Masih ramai terperangkap dengan terlalu ramai bergelut menahan perasaan yang kucar kacir. Tidak menentu dan jiwa bergelora. Air mula naik dan tiba tengah hari, air banjir sudah setinggi bumbung kereta, memaksa ramai yang menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi.
Isu utama yang dihadapi mangsa banjir adalah lapar. Semua orang lapar. Tidak makan dan minum. Bot yang membawa bekalan makanan hanya sampai semalam tetapi dibuat dengan tidak teratur dan menyebabkan masalah pengagihan. Tidak kira berapa banyak bot yang masuk, makanan tidak cukup.
Ada tidak dapat menunggu anggota penyelamat dan telah mengharungi banjir untuk meminta bantuan anggota penyelamat agar dapat menghantar bot untuk menyelamatkan nenek yang berusia 80 tahun dan datuk yang berkerusi roda.
Menanti selama empat jam sebelum bot dapat dihantar. Ada merasa marah tetapi yakin anggota penyelamat telah melakukan yang terbaik. Tetapi marah tidak boleh buat apa. Kena tunggu sebab semua bantuan tersekat di jambatan. Cuma kasihanlah mengingati macam orang tua yang terperangkap di rumah teres kena duduk di atas bumbung untuk tarik perhatian helikopter. Tetapi tiada sambutan.
Nasib tragedi banjir telah menonjolkan kebaikan masyarakat yang prihatin. Ramai cuba menyertai usaha menyelamat. Ada yang guna bekas plastik dan mendayung sendiri hendak selamatkan orang dalam mencari sumber makanan. Memang bahaya tetapi tiada pilihan. Memang bantuan tidak sampai.
Dari peringkat awal, orang awam lebih giat melaksanakan usaha menyelamat. Orang awam sudah datang bawa bantuan, tetapi bantuan kerajaan belum sampai. Sedangkan semua orang sudah kelaparan. Elektrik tiada langsung.
Anggota penyelamat dilihat membawa keluar mangsa dengan warga emas, yang sakit dan keluarga yang memiliki bayi diutamakan.
Ada berenang ke jambatan kerana mereka mendengar khabar yang di sana ada bekalan yang boleh dibawa pulang. Di flat ada yang memerlukan makanan kerana kelaparan. Namun apabila sampai, tiada apa-apa di sana. Pada masa sama ramai tidak dapat pulang ke rumah kerana dilarang oleh anggota penyelamat.
Hal terburuk perkhidmatan telefon yang terganggu. Bagaimana hendak berhubung dengan orang di luar? Ketika itu tidak tahu apa yang berlaku di luar. Kawan dan keluarga hendak tolong tetapi tidak boleh berhubung.
Bukan semua anggota penyelamat melakukannya secara sukarela mengikut arahan. Ada yang abaikan orang jerit minta bantuan begitu sahaja. Barangkali mereka dibayar untuk menjaga sesetengah keluarga tertentu dan mengabaikan yang lain.
Ada merancang untuk tinggal di hotel buat sementara waktu menanti banjir surut selepas dari atas bumbung.
“Tiada pilihan. Kami tak mahu susahkan orang lain yang memerlukan bantuan.”

(3)
Tular video memaparkan sekumpulan mangsa banjir bertindak memecah masuk kedai serbaneka. Selepas kehabisan bekalan makanan akibat terkandas dalam banjir selama dua hari dari atas bumbung rumah.
Keadaan kedai-kedai runcit yang rata-rata barang-barang di kedai telah habis diambil. Ada yang mengambil kesempatan ketika keadaan mendesak.
Yang lebih menyakitkan hati, bukan sahaja keperluan asas seperti makanan dan minuman yang diambil, malah barang-barang perkakasan elektrik seperti televisyen, oven dan juga barang elektrik yang berharga juga turut diambil individu tidak bertanggungjawab.
Tetapi ada meluahkan rasa kesal apabila dituduh mencuri perkakasan elektrik kerana mengambil kotak untuk mengisi makanan. Sudah pun membuat laporan polis bagi membersihkan kembali imejnya. Akhirnya sempat memohon maaf kerana video yang tular itu telah membuatkan orang ramai salah sangka dengan tindakannya itu yang dituduh mencuri perkakasan elektrik hanya menggunakan kotak.
Memahami keadaan yang terdesak tetapi kelakuan mencuri adalah tidak bermoral kerana merosakkan harta benda milik orang lain. Dengan mengalami kerugian besar. Malah banyak bantuan yang telah dihantar dan diberikan.
Mangsa banjir tidak terlalu cerewet dengan bantuan malah bersyukur kerana ramai yang prihatin. Sukarelawan tidak menang tangan menghantar dan mengagihkan makanan serta barang keperluan kepada mangsa.
Semakin tular pula banyak bantuan dibazirkan kerana terlalu banyak makanan dan barangan lain yang dihantar dan disimpan di Pusat Penempatan Sementara atau PPS. Lambakan makanan yang dibuang turut berlaku dan masih banyak keperluan lain dihantar ke PPS dengan pelbagai barang dari barangan makanan kering, pakai dan kelengkapan lain .
Menjengah ke ruangan komen netizen, ramai pengguna media sosial tampil meluahkan rasa geram dan bersimpati dengan nasib peniaga yang terpaksa menanggung kerugian. Dengan kedai dilanda banjir dan banyak barang yang rosak datang pula orang mengambil barang tanpa memikirkan kesusahan pekedai. Memang baik ada pendedahan sekurang-kurangnya rakyat tahu apa yang jadi. Di negeri lain yang banjir, tiada pula timbul isu pecah masuk untuk mencuri.

(4)
Seorang ayah nekad meredah banjir untuk pulang ke rumahnya bagi mendapatkan bekalan makanan untuk anaknya yang kelaparan selepas terperangkap lebih 12 jam. Sekeluarga mula keluar selepas air mula memasuki kediaman.
Bagaimanapun air mula naik mendadak memaksa Irman dan isteri bersama dua anak termasuk bayi lelaki berusia lapan bulan serta ibu sekali lagi keluar dari rumah itu dan berpindah ke kawasan taman belakang yang tinggi sedikit.
“Rumah itu masih belum didiami dan kami semua berteduh. Tiada makanan, air bersih dan elektrik. Semuanya gelap. Kami berteduh di atas bumbung dan situasi ketika itu memang sebak apatah lagi anak kecil menangis kelaparan.”
Irman mengenangkan nasib anak kelaparan dan nekad meredah banjir pada paras 0.6. Kemudian berpatah semula masuk ke rumahnya untuk mendapatkan sedikit makanan pada keesokan harinya.
“Saya bersyukur kerana ada sedikit keropok dan roti untuk dijamah kami sekeluarga sementara menanti bantuan tiba. Tidak lama kemudian, ada kayak melalui sekitar jam 2 petang dan membawa kami semua keluar. Kejadian ini memang tidak disangka dan penduduk amat memerlukan bantuan sokongan.”
Anaknya masih kelaparan.

(5)
Dalam keributan banjir terpandang perkataan besar dalam hujan lebat dari langit yang kegelapan. Darurat.
Di bumbung rumah Amirul mencari-cari makna di sekeliling. Tiada kamus dalam keadaan yang sukar seperti buku-bukunya yang habis tenggelam. Amirul tahu maksud dalam kamus dewan dan mengikut al-Quran.
Keadaan yang mencemaskan atau menyusahkan dan perkara yang membinasakan atau menyebabkan kesulitan bagi memelihara agama, nyawa, akal dan harta. Rukun kehidupan bagi diri manusia mengikut fitrah yang ditetapkan oleh Allah.
Amirul tahu darurat itu memang benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan dan melalui proses pengalaman dan pemerhatian. Tiada jalan lain selain mencuri makanan untuk menyelamatkan nyawanya daripada binasa.
Jangan memilih perkara yang terang-terang melanggar prinsip asas syariat Islam. Tetapi tiada apa-apa melainkan terpaksa makan daging babi maka dibenarkan untuk makan.
Islam mengizinkan makan makanan yang haram dengan kadar sepatutnya disebabkan oleh darurat dan makanan menjadi sangat penting untuk menjaga nyawa manusia.
Sudah tular di media sosial ramai individu memecah masuk sebuah kedai serbaneka dan pasaraya untuk mengambil barang makanan bagi tujuan kelangsungan hidup dan menghilangkan kelaparan. Ketika berlakunya banjir besar yang mengakibatkan musnah seluruh harta benda dan keperluan hidup. Tiada apa yang tinggal.
Sekiranya mangsa seperti Amirul benar-benar dalam kesempitan yang boleh mengancam nyawa maka Islam membenarkan untuk mengambil makanan atau ubat-ubatan sekadar keperluan sahaja dan tidak dikira sebagai berdosa.
Tetapi harus diingat bukan semua kelaparan dibenarkan mencuri atau mengambil harta orang lain tanpa kebenaran.
Dari atas bumbung dengan telefon tidak berfungsi, Amirul mengusap perut kelaparan dan melihat kegelapan malam yang mencengkam. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya