Apa motif Muda letak calon di Larkin? - soal AMK - Utusan Malaysia

Apa motif Muda letak calon di Larkin? – soal AMK

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir (kiri) bersama Dr. Zamil Najwah Arbain pada sidang akhbar isu pengumuman Parti Muda untuk turut meletakkan calon di DUN Larkin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Taman Larkin, Johor Bahru hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pertembungan antara PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin tidak akan menguntungkan mana-mana pihak dalam Pakatan Harapan (PH).

Bahkan tindakan itu kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan terhadap pengundi di kawasan itu untuk memilih antara kedua-dua parti berkenaan.

Katanya, PKR yang sudah menamakan Dr. Zamil Najwah Arbain tidak akan berganjak dari Larkin kerana parti itu diberikan kerusi hasil perbincangan di peringkat PH.

“Keputusan Muda mencetuskan pertembungan sesama pembangkang di Larkin tidak akan ganggu fokus PKR. Tindakan mereka ini hanya mengesahkan tanggapan ramai yang menyifatkan gaya politik Muda masih dangkal dan tidak matang.

“Walaupun Muda mempunyai hak demokrasi meletak calon di mana-mana kerusi yang mereka ingin, tetapi kami tertanya-tanya apa motif sebenar Muda?” Soalnya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan nama Rasid Abu Bakar di kerusi Larkin yang menjadikan parti itu bertanding di tujuh kerusi berbanding enam yang dipersetujui bersama PH.

Tambah Akmal Nasrullah, masih ada waktu untuk Muda berubah fikiran dengan meletakkan kepentingan pembangkang yang mahu mengalahkan pihak lawan terutama Barisan Nasional (BN).

Katanya, langkah Muda itu juga dilihat akan memberi keuntungan kepada UMNO-BN walaupun kerusi berkenaan disandang oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pernah bersama PH dahulu.

Sementara itu, ketika ditanya adakah tindakan Muda itu akan menyukarkan gerak kerja PH melibatkan jentera DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), Akmal Nasrullah berkata, mereka perlu meletakkan kepentingan PH sebagai lebih utama.

“DAP dan Amanah perlu menyatakan komitmen bahawa kita angkat semangat PH kalau Muda masih nak langgar (Larkin) kerana itu hak demokrasi.

“Tetapi PH masih terikat sebagai satu gabungan jadi kami mengharapkan PH meletak kepentingan gabungan itu terlebih dahulu (bagi membantu kempen),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya