Anak Osman Sapian tekad teruskan perjuangan arwah bapa

Anak Osman Sapian tekad teruskan perjuangan arwah bapa

MUKHRIZ Mahathir (tengah) bersama 42 calon Pejuang yang akan bertanding pada PRN Johor di Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Meskipun berlainan parti, namun itu bukan penghalang buat anak kepada bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian mencabar diri untuk mengekalkan kerusi yang pernah disandang oleh bapanya.

Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Nornekman Osman, 47, berkata, walaupun arwah bapanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ia bukanlah isu utama ekoran misi untuk membela rakyat merupakan hasrat selari mereka berdua.

NORNEKMAN OSMAN

Menurut Nornekman, beliau telah bersama Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sejak tahun 2004 dan keputusan menyertai parti baharu itu juga telah sedia maklum diketahui arwah bapanya.

“Memang arwah bapa saya galakkan saya untuk keluar dari Johor bagi menimba ilmu politik sebelum kembali ke sini.

“Sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pun, saya sudah menyertai parti Pejuang dan keputusan saya itu mendapat restunya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Calon Parti Pejuang di sini hari ini.

Nornekman yang merupakan ahli perniagaan berkata, ketika ini fokus beliau adalah untuk meneruskan perjuangan arwah yang masih belum selesai setelah kematian wakil rakyat itu pada tahun lalu.

“Setelah pemergian Allahyarham bapa ke rahmatullah, saya memang pulang ke negeri ini untuk melihat perkara yang belum diselesaikan. Beberapa tugas dan kekangan yang tidak sempat dilaksanakan, saya ambil pendekatan melaksanakannya,” katanya.

Terdahulu seramai 42 calon Pejuang diperkenalkan oleh Mukhriz untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti.

Mukhriz berkata, semua calon yang dikemukakan mempunyai latar belakang berbeza dengan 54 peratus merupakan mereka yang berusia bawah 50 tahun.

Selain Nornekman, turut menarik perhatian adalah penyertaan Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh di DUN Machap serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya yang kini dikenali Kota Iskandar, Dr. Zaini Abu Bakar bagi merampas semula kerusi berkenaan.

“Daripada 42 calon yang diumumkan hari ini, seramai empat calon wanita turut diketengahkan dan rata-rata calon mereka pertama kali menyertai parti politik.

“Memandangkan pilihan raya ini yang pertama ditandingi Pejuang, 100 peratus calon adalah muka baharu dan ini merupakan tawaran kepada pengundi Johor yang kami telah teliti secara mendalam supaya dapat menubuhkan sebuah kerajaan yang mengikut selera rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya