KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan pelawak Ali Puteh membayar ganti rugi am RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd. Ali kerana memfitnahnya dalam laman sosial Instagram, dua tahun lalu.
Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman balu Allahyarham Abam Bocey terhadap Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut menolak tuntutan saman Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya terhadap usahawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Youtube usahawan kosmetik itu.
Zulqarnain memerintahkan Ali Puteh, 34, membayar kos RM13,000 kepada Siti Nor Hidayah, 30. Mahkamah turut membenarkan permohonan Siti Nor Hidayah untuk mendapat perintah injunksi bagi menghalang Ali Puteh menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya.
“Saya sangat bersyukur dengan keputusan ini dan saya maafkan semua apa orang kata pada saya,” ujar Siti Nor Hidayah ketika ditemui pihak media sejurus prosiding selesai.
Sementara itu, peguam Noorazmir Zakaria yang mewakili Ali Puteh memberitahu, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari daripada tarikh hari ini.
Ujarnya, pihak plaintif sedang menunggu penghakiman bertulis daripada mahkamah bagi membolehkan mereka menilai alasan penghakiman. Ketika membacakan keputusannya, Zulqarnain berpuas hati Siti Norhidayah berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Ali Puteh.
Beliau berpendapat, hantaran Ali Puteh dalam Instagram itu sangat menjatuhkan maruah dan mengaibkan Siti Norhidayah.
“Kata-kata itu amat keras dan melampau seolah-olah isteri arwah adalah spesis yang kerjanya merompak harta orang tanpa hati dan perasaan,” ujar Zulqarnain.
Menurut hakim berkenaan, perkataan tersebut jika ditujukan kepada pesakit yang uzur dan terlantar di hospital sekalipun, dia akan cuba bangun dan mempertahankan maruahnya.
Kemelut antara Siti Nor Hidayah dan keluarga tersebut tercetus selepas kematian Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Redzuan pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.
Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah memfailkan saman fitnah terhadap Ali Puteh berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu di akaun Instagramnya yang antara lain menggambarkan dirinya seorang yang tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Ali Puteh bersama, bapanya, Syed Mohd. Ridzuan Syed Hassan, 67; arwah ibunya, Sabariah Arshad, 63; dan kakak sulungnya, Sharifah Norwahidah Syed Mohd. Ridzuan, 44, pada Julai 2020 memfailkan saman fitnah terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung di akaun Youtube usahawan kosmetik itu.
Temu bual itu didakwa telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnah Ali Puteh sekeluarga selaku plaintif. – UTUSAN