PETALING JAYA: Usaha kerajaan mewujudkan Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental Tahun 2020-2025 disambut baik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, Agong memuji usaha itu yang boleh menangani isu kesihatan mental rakyat yang berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Beta menyambut baik Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental Tahun 2020-2025 yang dirangka bagi menangani isu kesihatan mental rakyat terutamanya yang terkesan akibat pandemik Covid-19 melalui pelbagai langkah intervensi dan bantuan kepada golongan yang terkesan.
“Pada kesempatan ini beta menyeru kepada rakyat untuk terus memelihara kesihatan termasuklah kesihatan mental dan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat bagi menjayakan matlamat Agenda Nasional Malaysia Sihat,” titah baginda dalam istiadat pembukaan itu.
Dalam istiadat sama, Tuanku menyeru rakyat terus peka dengan ancaman Covid-19 dan segera mendapatkan dos penggalak bagi memastikan keselamatan semua pihak.
“Malaysia berada di kedudukan ke-13 dari 122 buah negara dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei Asia. Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah berjaya mencapai liputan vaksinasi lengkap sehingga 98 peratus populasi dewasa.
“Bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum dan sebagai benteng dalam menghadapi varian baru, beta menyeru rakyat mendapatkan dos penggalak menerusi program dilaksanakan kerajaan.
“Walaupun negara kini semakin bersedia beralih ke fasa endemik, beta berharap agar peralihan ini dilaksanakan secara berhati-hati. Beta menyokong Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan dan tindakan afirmatif Kerajaan untuk mengurangkan harga kit ujian kendiri sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti,” titah Yang diPertuan Agong. – UTUSAN