Adakan ruangan khas sidang akhbar, lebih baik daripada ‘jolok’ - Annuar - Utusan Malaysia

Adakan ruangan khas sidang akhbar, lebih baik daripada ‘jolok’ – Annuar

ANNUAR Musa menyampaikan watikah Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor (Zon Timur) di Dewan Serbaguna Kota Kecil, Kota Tinggi di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Penganjur program ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor digalakkan menyediakan ruang khas untuk sidang akhbar sebagai langkah keselamatan mengelak penularan Covid-19 terutama kepada pengamal media dan semua pihak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengamal media merupakan golongan yang sentiasa berada di lapangan sejak Covid-19 mula melanda negara dan amat terdedah kepada risiko jangkitan.

Katanya, penyediaan ruang atau bilik khas sidang akhbar juga secara tidak langsung dapat mewujudkan penjarakan fizikal dalam kalangan petugas sepanjang kempen PRN Johor.

“Kalau kita tengok apa yang diputuskan dari segi prosedur standard operasi (SOP), perlu buat di pejabat parti atau bilik gerakan. Biasanya kalau di situ setiap malam tempat program berlangsung adalah elok parti-parti yang kendalikan aktiviti itu ambil kira keselamatan pihak media.

“Kalau boleh adakan ruangan sidang akhbar dan waktunya yang tersusun dan terkawal (kerana ia) lebih baik daripada ‘jolok’ sambil berjalan. Ini untuk kebaikan semua lebih-lebih lagi untuk kita sama-sama jaga keselamatan. Kalau petugas media sakit atau takut hendak hadir program semua orang susah juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor (Zon Timur) di Dewan Serbaguna Kota Kecil, malam tadi.

Annuar berkata, Kementerian Kesihatan mengesahkan varian Omicron sangat mudah menjangkiti walaupun sudah mengambil suntikan penggalak, namun jangkitan tidak fatal dan yang boleh menghalang hanya dengan cara menjaga diri masing-masing.

Tambahnya, cara yang terbaik juga adalah dengan mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan amalan-amalan asas mencegah Covid-19.

“Saya tahu dalam kalangan rakan media susah hendak patuh bila nak ‘jolok’ semua nak dekat jadi jarak satu meter sudah terlanggar secara tidak langsung. Ada amalan-amalan asas yang boleh dilakukan misalnya basuh tangan, buat ujian kendiri jika rasa bergejala.

“Nasihat saya warga medialah yang paling sangat perlu untuk pastikan bukan sekadar SOP dipatuhi tetapi kena ambil langkah lebih daripada SOP yang ditetapkan. Kita kena hargai pengorbanan warga media sejak awal kita tahu memang terdedah kalau tak nak terdedah kena duduk rumah tapi mana mungkin media duduk di rumah sedangkan kalau perang pun mereka duduk di medan perang,” katanya.

Sejak minggu lalu, dilaporkan kira-kira 10 petugas media daripada pelbagai agensi di negeri ini disahkan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin dipercayai ketika melakukan tugas di lapangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya