PETALING JAYA: Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerima kunjungan hormat Duta Afghanistan ke Malaysia, Dr. Moheb Rahman Spingar di Putrajaya, hari ini.
Menurut Abdul Hadi, kunjungan hormat tersebut berkisar hasil daripada susulan lawatan kerjanya ke Qatar bagi membincangkan peranan perlu diambil Malaysia dalam usaha membantu membangunkan Afghanistan terutama dalam bidang pendidikan dan kemanusiaan.
“Usaha untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara diteruskan dengan bantuan kemanusiaan dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya dalam Facebook hari ini.
Sebelum ini, Presiden Pas itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen.
Pertemuan sempena lawatan kerja ke Qatar tersebut memberi fokus utama kepada menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dalam usaha pembangunan semula Afghanistan.
Sebaliknya pertemuan itu menimbulkan pertikaian pelbagai pihak termasuk Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Salahuddin Ayub apabila mendakwa Abdul Hadi mendahului Kabinet atau Perdana Menteri mengiktiraf pimpinan Taliban di Afghanistan secara terburu-buru, gopoh dan di luar bidang kuasa diberikan. – UTUSAN