GEORGETOWN: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pulau Pinang merekodkan kira-kira 50 peratus kemasukan pesakit Covid-19, susulan peningkatan kes jangkitan pandemik itu, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keadaan ketika ini adalah terkawal dan kerajaan negeri memantau dengan teliti situasi wabak berkenaan.
“Kerajaan negeri membuat persiapan bagi memastikan kemudahan mencukupi bagi menampung peningkatan kes Covid-19. Bagaimanapun, daripada statistik Jabatan Kesihatan negeri, lebih 90 peratus kes Covid-19 di negeri ini adalah dalam kategori satu dan dua.
“Jadi kemasukan ke pusat penjagaan kesihatan dan PKRC masih terurus, mungkin mencecah 50 peratus kemasukan,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MTT Properties dan Development Sdn. Bhd. (MTTPSB) dan Selgate Properties Sdn. Bhd. (SPSB), di sini hari ini.
Pulau Pinang mencatatkan 2,142 kes semalam menjadikan kes kumulatif Covid-19 adalah 184,496 kes dan daripada jumlah itu, 10,267 adalah kes aktif.
Dalam pada itu, Kon Yeow berharap ibu bapa membenarkan anak-anak mereka diberi vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan untuk Kanak-kanak Covid-19 (PICKids) yang sedang berjalan supaya anak-anak mereka dilindungi dengan lebih baik.
Selain itu katanya, mereka yang layak mendapatkan suntikan suntikan dos penggalak juga perlu segera berbuat demikian sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau secara jumpa terus.
“Ini akan memberi perlindungan tambahan kepada mereka yang telah mendapatkan suntikan dua dos vaksin yang lebih awal,” tambahnya.
Mengenai sama ada Pulau Pinang akan menguatkuasakan sebarang sekatan berikutan lonjakan kes Covid-19, termasuk membenarkan bazar Ramadan beroperasi pada bulan Ramadan yang akan datang, Kon Yeow berkata, pihak berkuasa kesihatan telah membuat pengumuman bahawa bazar Ramadan dibenarkan tahun ini.
“Pada masa pengumuman itu, sudah tentu (situasi Covid-19) akan terus berubah, saya percaya Kementerian Kesihatan perlu menilai keadaan itu dari hari ke hari untuk melihat sama ada keputusan itu kekal atau tidak,” katanya. – UTUSAN