MELAKA: Sebanyak 44 buah rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dekat sini terjejas teruk. Ini termasuk beberapa daripadanya rosak teruk selepas bahagian bumbung tercabut diterbangkan ribut dalam kejadian yang berlaku, petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, ia membabitkan lima buah kampung. Kampung terlibat ialah Kampung Tanah Merah sebanyak 12 buah rumah, Kampung Lanjut Manis (11), Kampung Sungai Badau (11), Kampung Krubong (9) dan Kampung Ladang (1).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri itu, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.40 petang. Semua mangsa sempat menyelamatkan diri dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
“Kampung Tanah Merah dilaporkan paling teruk terjejas apabila enam buah rumah di bahagian bumbungnya tercabut. Hingga ada menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke rumah sanak-saudara kerana tidak lagi boleh mendiami rumah tersebut.
“Saya telah minta Penghulu dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk buat tinjauan rumah-rumah yang rosak. Dan membuat laporan penuh kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Melaka Tengah.
“Saya amat berharap bantuan segera dapat disalurkan kepada semua mangsa yang terlibat di lima buah kampung,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Terdahulu, beliau melakukan lawatan dan meninjau keadaan mangsa serta rumah yang terlibat dalam kejadian tersebut. Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada kesemua ketua keluarga 44 buah rumah terlibat.
Rais menambah, beliau mahu pemilik enam buah rumah yang terjejas teruk diberikan bantuan segera memasang semula bahagian bumbung yang diterbangkan ribut bagi membolehkan mereka mendiami semula rumah masing-masing.
“Ini adalah kejadian pertama saya lihat ribut berlaku di DUN Paya Rumput sebegini teruk.
“Saya harap pihak berwajib percepatkan dan permudahkan proses membantu mangsa, faham sahajalah kalau rumah tidak berbumbung bagaimana mereka ingin tinggal, berapa lama nak menumpang rumah sedara mara,” katanya. – UTUSAN